• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Pengurus TFC Perjelas Salah Faham Isu Solat

KUALA NERUS, 7 September – Ekoran video tular di media sosial berhubung dakwaan merendah-rendahkan penyokong lawan perihal kewajipan solat, Pengurus Terengganu FC, Mohd Fadhil Wahab tampil memberi penjelasan.

Menurut beliau, kenyataan dikeluarkan bukan mahu menyatakan penyokong lawan tidak menunaikan solat, sebaliknya mahu penyokong Terengganu FC menitik beratkan kewajipannya.

“Bukan kita menidakkan penyokong lawan tidak solat cuma kadang-kadang kita berbahasa dalam loghat Terengganu, beza pemahaman orang. Ketika itu saya bercakap dalam konteks penyokong Terengganu yang ada di hadapan saya.

“Apa pun bagi pihak saya, jika ia menimbulkan keraguan, saya minta maaf banyak-banyak, takut tersilap kata. Niat saya bukan nak cakap orang tak solat tetapi nak lihat penyokong kita jaga adab dan mengambil berat soal solat,” jelasnya dalam Bual Bicara Sembang Bola di TV Darul Iman, hari ini.


Mengulas lanjut, beliau turut berpesan kepada penyokong Terengganu supaya menjaga diri dan tidak bertindak di luar batasan.

"Biasalah, semua ingin menang belaka, tetapi satu pasukan sahaja akan menang. Pasukan yang menang akan puas hati, yang kalah tidak akan puas hati mungkin kepada sistem pengadilan. 

"Jadi, kita akhirnya kena terima dengan hati terbuka. Kadang-kadang tindakan ini menyebabkan kelab diambil tindakan, kita ada peranan masing-masing kepada Terengganu, jadi tenang-tenang sahaja," pesannya.

Dalam pada itu, beliau juga memaklumkan semua pemain bebas kecederaan termasuk penjaga gol, Rahadializli Rahalim yang sudah pun menjalani latihan ringan, semalam.

"Saya telah menziarahi beliau dan insya-Allah beliau akan beraksi pada sabtu ini bergantung kepada ketua jurulatih untuk melihat tahap kecerdasan semasa," tambahnya.

Skuad Penyu mara ke pentas final selepas menewaskan Selangor FC menerusi penentuan penalti 4-2 selepas terikat 1-1 dalam 120 minit.

Pasukan pantai timur itu melangkah ke Bukit Jalil dengan impian mengulangi kejayaan menjulang Piala FA pada tahun 2011 sekali gus mengesahkan tiket untuk bersaing di pertandingan peringkat Asia pada musim depan.


Tag: