• 04 Ogos 2021 | 25 Zulhijah 1442

Pengusaha Bas Sekolah, Pekerja Am Terima Bantuan

KUALA NERUS, 15 Mac - Pengusaha bas sekolah dan pekerja pembersihan di daerah ini menjadi golongan terbaharu yang menerima bantuan daripada Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM).

Setiausaha Politik Ahli Parlimen Kuala Nerus, Kamal Nazmi Kamaruddin berkata, program YADIM Peduli Musa’adah COVID-19 yang dijalankan bersama pihaknya bertujuan meringankan beban sebahagian golongan terjejas pendapatan.

“Sumbangan berbentuk barangan dapur daripada pihak YADIM dan sumbangan tunai daripada Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Kuala Nerus.

“Sebelum ini juga kita melakukan siri yang lain mengikut segmen masyarakat yang berbeza dan hari ini kite memfokuskan kepada pengusaha bas dan pekerja pembersihan,” katanya ketika ditemui UPDI kelmarin.

Turut bersama dalam program tersebut, Kapten (B) Shamsuddin Moner, Pengarah Kanan Sektor Latihan dan Perkaderan serta Pengarah YADIM Terengganu, Ustaz Nasrul Saidin.

Dalam pada itu, Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir, Mohd Fazil Wahab yang hadir sama berkata, usaha berkenaan membuktikan kerajaan sangat prihatin akan masalah yang melanda rakyat.

“Kita sentiasa bersedia bekerjasama dengan mana-mana agensi bagi menjaga kebajikan masyarakat khususnya mereka yang terkesan dengan pandemik,” tambahnya lagi.

Sementara itu, seorang penerima, Rahim Abdullah @ Hamid, sangat menghargai inisiatif YADIM dan Pusat Khidmat Masyarakat kerana prihatin terhadap beliau dan rakan-rakan.

“Selama ini saya hanya melihat sahaja golongan lain menikmati bantuan daripada kerajaan dan tidak sangka hari ini giliran saya merasai bantuan seperti orang lain,” katanya lagi

 


Tag: