• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Pengusaha Pelancongan Perlu Kreatif Tarik Pengunjung

HULU TERENGGANU, 25 Februari- Penggiat industri pelancongan di Tasik Kenyir harus tampil lebih kreatif dengan pakej pelancongan yang boleh memenuhi kehendak pelancong disaat sektor ini terjejas akibat wabak pandemik COVID-19.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin  Deraman berkata pandemik yang berlaku telah mengubah kehidupan masyarakat setempat dan pengusaha pelancongan sepertinya perlu menerima keadaan baharu itu dengan melakukan perubahan strategi pemasaran.

Katanya, cadangan yang masih di peringkat perancangan itu dilihat mampu menarik lebih ramai pengunjung untuk datang melihat keunikan Tasik Kenyir.

"Inisiatif seperti menawarkan pakej pelancongan pada kadar harga lebih rendah kepada pelancong tempatan boleh dibanyakkan, memandangkan sempadan negara masih ditutup akibat pandemik COVID-19.

"Sehubungan itu, penggiat industri pelancongan seperti pengusaha rumah bot dan bot laju wajar merebut peluang dalam menarik lebih ramai pengunjung termasuk menyediakan pakej istimewa ini,"ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Program Penyampaian Bantuan Ekonomi Rakyat Terengganu BERKAT (sektor pelancongan) kepada wakil pemandu bot dan pengusaha houseboat serta malim gunung di Tasik Kenyir, disini hari ini.

Pada majlis tersebut, seramai 230 pemandu bot dan pengusaha houseboat serta 33 malim gunung mendapat bantuan secara one-off berjumlah RM300 setiap seorang, melibatkan kos keseluruhan bantuan bernilai RM78,900.

Menurutnya lagi, bantuan ini akan diagihkan kepada penerima secara berperingkat dengan disalurkan terus ke dalam akaun penerima.