• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Peniaga Bazar Ramadan Dinasihati Pertingkat Amalan Kebersihan


Peniaga juadah berbuka puasa di bazar Ramadan dinasihati meningkatkan tahap kebersihan termasuk kebersihan diri dan aspek penyediaan makanan bagi mengekang penyebaran wabak penyakit bawaan makanan.

Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Mohammad Omar berkata, makanan yang dijual di bazar Ramadan lebih berisiko terdedah kepada bakteria memandangkan juadah disediakan lebih awal.

“Para peniaga diharapkan mengambil langkah yang sewajarnya bagi memastikan makanan yang disediakan bersih dan bebas daripada sebarang bentuk pencemaran.

“Jangan sesekali menjual semula makanan yang tidak habis pada hari sebelumnya kerana ianya menyebabkan risiko keracunan makanan kepada pengguna,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Kempen Keselamatan Makanan Serta Nafas Baru Bermula Ramadan 2017 Peringkat Kuala Nerus, di Bazar Ramadan Gong Badak, semalam.

Katanya, keselamatan makanan di bazar turut dipengaruhi oleh beberapa faktor bermula daripada kualiti bahan mentah ketika pengendalian dan juga penyimpanan.


Sementara itu, beliau berkata sehingga 5 Jun lalu, sebanyak 2,081 daripada 4,905 buah premis di bazar Ramadan di seluruh negeri ini telah diperiksa tetapi tiada premis yang ditutup disebabkan masalah kebersihan atau keracunan makanan.

“Walau bagaimanapun, sehingga tempoh tersebut 31 notis kesalahan di bawah Seksyen 32B Akta Makanan 1983 telah dikeluarkan kepada peniaga bazar Ramadan atas pelbagai kesalahan dengan nilai keseluruhan sebanyak RM3,400.

"Antaranya, tidak memakai apron sebanyak 15 kes, kebersihan diri (11), tidak mendapat suntikan (2), tiada latihan (2) dan menggaji pengendali tiada latihan dan suntikan anti tifoid (1)," ujarnya.

Tambah beliau, sebanyak 88 sampel makanan juga telah diambil bagi tujuan analisa tahap keselamatan makanan dan daripada keputusan analisis, sembilan sampel dari jumlah tersebut didapati telah melanggar standard yang ditetapkan.

Tag: