Peniaga Dalam Talian Perlu Daftar SSM BizTrust
HULU TERENGGANU, 16 November - Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) merekodkan hanya 4.181 peniaga dalam talian yang mendaftar di bawah BizTrust diperkenalkan agensi itu sejak empat tahun lalu.
Timbalan Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Dato' Rosol Wahid berkata, jumlah itu dilihat masih rendah berbanding kira-kira 373,213 perniagaan dalam talian pada masa ini.
Katanya, pihak KPDNHEP menggalakan peniaga e-dagang dan dalam talian mendaftarkan perniagaan mereka di bawah SSM BizTrust bagi meningkatkan keyakinan pengguna terhadap kebolehpercayaan kepada peniaga dalam talian.
"Sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pembelian dalam talian menyebabkan platfom edagang sangat popular dan mengikut kajian yang dibuat bahagian perangkaan berlakunya peningkatan hampir 39.3 peratus.
"keengganan peniaga untuk mendaftarkan perniagaan mereka itu boleh menjejaskan keyakinan pembeli terhadap produk dan perkhidmatan ditawarkan kerana ramai pelanggan berdepan kes penipuan pembelian dalam talian.
"Oleh itu, kita mengalu-alukan peniaga dalam talian mendaftarkan perniagaan mereka di bawah BizTrust kerana logo itu akan terpampang dalam laman atau media sosial yang digunakan sebagai entiti pemasaran yang merupakan jaminan terhadap produk yang dijual," ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat ladang ternakan ayam di Kampung Kemat, Telemong, semalam.
Tambahnya lagi, bagi menggalakkan lebih ramai peniaga merebut peluang mendaftarkan perniagaan mereka dengan SSM BizTrust, kini perkhidmatan ini disediakan secara percuma sehingga 30 Disember 2020.
Untuk rekod, sehingga September 2020, kementerian telah menerima 9,116 aduan membabitkan perniagaan dalam talian, antaranya meliputi kesalahan tidak menerima barangan, perkhidmatan tidak seperti ditawarkan, kes tuntutan semula pembayaran dan iklan mengelirukan.
Sementara itu, pihak KPDNHEP telah mengambil tindakan ke atas 15 syarikat yang dikenakan tindakan undang-undang sepanjang 2019 hingga September 2020 di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999.