Peniaga Kecil Rayu Kelonggaran: Kenaikan Kos LPG Cengkam Sumber Rezeki

HULU TERENGGANU, 2 Jun – Penguatkuasaan mengejut penggunaan gas petroleum cecair (LPG) domestik 14 kilogram komersial mula menimbulkan keresahan dalam kalangan peniaga kecil dan penjaja makanan di sekitar daerah ini.

Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid, berkata hasil tinjauan petang semalam mendapati rata-rata peniaga mengakui terkesan dengan langkah tersebut yang dianggap dilaksanakan secara mendadak tanpa pelan sokongan sewajarnya.

Menurut beliau, walaupun peraturan berhubung penggunaan LPG komersial sudah lama digubal, pelaksanaannya secara agresif ketika rakyat sedang berdepan tekanan kos sara hidup yang tinggi boleh disifatkan sebagai tidak peka terhadap realiti semasa.

“Peniaga kecil kini perlu menggunakan tong LPG komersial 14 kilogram yang berharga sekitar RM70 setong, menggantikan tong subsidi 14 kilogram pada harga kira-kira RM26. Ini satu lonjakan kos yang besar bagi mereka,” katanya selepas meninjau beberapa premis di kawasan Kuala Berang dan Ajil.

Kerajaan sebelum ini menjelaskan hanya peniaga yang menggunakan lebih tiga tong gas subsidi akan dikenakan tindakan, namun menurut Rosol, ramai peniaga kecil sebenarnya termasuk dalam kategori tersebut.

Beberapa peniaga yang ditemui menyuarakan pelbagai kekhuatiran terhadap pelaksanaan ini, malah menggesa kerajaan tampil dengan penyelesaian yang lebih mesra rakyat.

Pengusaha masakan panas di Pekan Ajil, Ayu Azlina Mat Nor, 45, berkata kos operasi harian terus meningkat sejak akhir-akhir ini, ditambah pula dengan tekanan baharu akibat harga gas yang melonjak hampir tiga kali ganda.

“Dulu, tiga tong subsidi sekitar RM78. Sekarang kalau tukar ke tong komersial, boleh cecah RM210 sebulan. Untung pun makin sikit, sebab pelanggan pun tak mampu kalau harga makanan naik,” katanya.

Seorang lagi peniaga makanan bergoreng di Kuala Berang, Muhamed Junoh, 55, pula menyifatkan pelaksanaan mendadak ini sebagai tidak sensitif terhadap keadaan semasa peniaga mikro.

“Kami bukan kilang besar, meniaga pun cukup-cukup makan. Sekurang-kurangnya beri tempoh bertenang atau bantuan khas. Ini tidak, terus dikuatkuasa tanpa timbang rasa,” luahnya.

Sementara itu, Norlaila Sulong, 63, yang mengusahakan gerai masakan harian di Kampung Butut pula mempersoalkan keutamaan kerajaan dalam melindungi kebajikan peniaga kecil.

“Banyak benda naik harga sekarang. Minyak, ayam, sayur semua mahal. Sekarang gas pula jadi beban. Kalau kerajaan tak bantu, siapa lagi?” soalnya dengan nada kecewa.

Susulan aduan yang diterima, Rosol menggesa kerajaan agar menilai semula pendekatan penguatkuasaan tersebut dan mempertimbangkan mekanisme bantuan bersasar kepada golongan peniaga kecil.

“Kita bukan tolak undang-undang, tapi mesti ada pertimbangan. Jangan tekan rakyat kecil yang sedang berusaha mencari rezeki.

"Berikan pelan insentif atau subsidi peralihan agar mereka tidak terjejas secara mendadak,” katanya.

Beliau menegaskan, suara dan keluhan rakyat di peringkat akar umbi perlu diberi perhatian serius oleh pihak berkaitan sebelum sesuatu dasar dilaksanakan sepenuhnya.
 


Tag: