• 08 Mei 2024 | 29 Syawal 1445

Peniaga Pasar Tani Gembira Dibenarkan Berniaga

DUNGUN, 9 Februari - Para peniaga Pasar Tani di Kampung Jerangau gembira apabila pasar malam dan pasar tani dibenarkan untuk kembali beroperasi.

Salah seorang peniaga, Wan Siti Khatijah Wan Ahmad berkata walaupun sambutan tidak sebagaimana biasa tetapi dia tetap bersyukur kerana tapak perniagaannya itu tetap ada pengunjung.

"Mungkin masih ramai yang tidak tahu yang kita telah mula berniaga, mungkin juga masih takut-takut dan merasa bimbang dengan keadaan semasa disebabkan pandemik COVID-19 maka dapat dilihat hari ini tidak ramai yang keluar.

"Bagi saya ia memberi kelegaan, setelah lama tidak dibenarkan berniaga, sudah tentu menjejaskan rezeki mingguan saya yang selama ini berniaga di pasar tani yang beroperasi pada Selasa setiap minggu," ujarnya kepada pemberita ketika disantuni Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman, hari ini.

Sementara itu seorang peniaga ayam goreng, Tengku Abdul Hadi Tengku Omar turut menyatakan perasaan gembira walaupun sedikit terjejas.

"Saya berniaga di setiap pasar malam dan pasar tani didalam DUN Bukit Besi ini merasa sangat lega apabila dibenarkan kembali untuk berniaga, Alhamdulillah ada rezeki walaupun tidak sebagaimana biasa," ujarnya.

Dalam pada itu, Ghazali berkata pihaknya sentiasa peka dan prihatin dengn nasib para peniaga di sepanjang tempoh mereka tidak dibenarkan berniaga.

"Oleh kerana itu melalui Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) kita telah menyenarikan kesemua mereka sebagai golongan yang terkesan bagi dihulurkan sumbangan dengan harapan dapat meringankan beban yang mereka alami.

"Pada hari ini saya telah turun menyantuni kesemua mereka, walau masih ramai lagi yang tidak berniaga mungkin diatas faktor masih ada tercetus perasaan risau dan bimbang, mungkin juga sebab ada peniaga dari daerah lain maka suasana yang dilihat pada hari ini tidak sebagaimana sebelum ini," katanya.

Justeru, Ghazali mengharapkan agar kebenaran untuk kembali berniaga itu akan digunakan sebaik-baiknya oleh para peniaga dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan.


Tag: