• 06 Okt 2024 | 03 Rabiul Akhir 1446

Peniaga Terpaksa Naikkan Harga Makanan

KUALA TERENGGANU, 20 September- Kenaikan harga barangan yang agak drastik sejak kebelakangan ini bukan sahaja menimbulkan keresahan kepada pengguna, malah para peniaga juga tersepit dengan peningkatan melampau itu.

Rata-rata peniaga tertekan dengan kenaikan harga barang yang saban minggu berubah dengan harga berbeza yang semakin tidak masuk akal.

Kenaikan itu menyebabkan para peniaga tidak dapat mengelak menaikan harga barangan yang dijual mereka walaupun ada pelanggan yang merungut.

Menurut Fatihah Suhaimi, 20, yang membantu ibunya berniaga barangan runcit, berkata, mereka terpaksa menjual barangan berdasarkan harga semasa yang ditetapkan oleh pemborong.

“Sekarang jual apa-apa pun pun tidak ramai pembeli. Kita dapat harga dari pembekal sudah mahal, bukan sahaja beras, telur, gula, minyak yang naik, harga ketumbar yang dulu sekitar RM20 sekilogram sekarang dalam RM35, harga naik mendadak menyebabkan pembeli terkejut.

“Sedangkan kita ambil dari orang mahal juga, terpaksa jual mahal, kalau jual murah tidak balik modal,” katanya semasa ditemui di Pasar Chabang Tiga, semalam.

Katanya, dia kini hanya banyak berharap kepada pelanggan tetap membabitkan peniaga restoran dan kedai makan yang masih terus membeli bahan mentah di kedai ibunya.

Sementara itu, Mohd Ariffin Abdul Rahman, 63, sebagai peniaga sayur-sayuran dia turut terkejut dengan kenaikan harga yang terlalu tinggi ketika ini dan tidak pernah berlaku sejaknya berniaga kira-kira 30 tahun lalu.

“Saya harap kerajaan prihatin dengan isu ini, bila harga barang keperluan naik kena ambil berat tentang rakyat, prihatin kepada rakyat.

“Pada saya, kerajaan perlu selaraskan harga, kalau orang ramai kurang berbelanja, peniaga seperti kami yang susah,” ujarnya.

Manakala peniaga ikan, Abd Rahman Abdullah berpendapat, kerajaan perlu memandang serius perkara ini dan mengambil langkah proaktif untuk terus memantau kenaikan harga barangan dalam pasaran sebelum terus meningkat dan mencapai tahap kritikal.