• 24 Okt 2021 | 17 Rabiul Awal 1443

Peningkatan Insiden Laut Di Terengganu Membimbangkan

KUALA TERENGGANU, 14 Jun – Statistik operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT) atau insiden laut terkini menunjukkan peningkatan membimbangkan setelah merekodkan tujuh kes dalam enam bulan pertama tahun ini.

Pegawai SAR Maritim Negeri Terengganu, LT KDR (M) Mohd Arizan Hakimi Mohd Zin berkata, beliau tidak menolak kemungkinan akan berlaku peningkatan kadar insiden tersebut bagi enam bulan berbaki terutamanya pada musim monsun timur laut nanti.

“Bagi tahun 2020, jumlah insiden perairan direkodkan adalah 14 insiden termasuk situasi seperti bantuan kecemasan, mangsa lemas atau hilang, kerosakan bot dan seumpamanya.

“242 kejadian direkodkan pada tahun lepas dan 81 kes pada pada tahun ini sehingga 31 Mei bagi seluruh Malaysia melibatkan insiden kehilangan nyawa, harta benda, mangsa lemas atau tidak dijumpai dan sebagainya.

“Namun begitu sejak penubuhan pada 2006 sehingga kini, statistik harta benda yang diselamatkan adalah agak besar sebanyak RM622 juta, menggambarkan usaha dilaksanakan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dalam usaha mengurangkan kadar penswastaan, kehilangan dan kerosakan harta benda,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas bersiaran langsung di TVDI bersempena Hari Kesedaran Keselamatan Maritim, baru-baru ini.

Mengulas tentang berlakunya insiden melibatkan penggiat aktiviti laut, Arizan menjelaskan antara punca-punca utama adalah kurang kesedaran tentang pemakaian jaket keselamatan dan penggunaan peralatan sokongan kecemasan yang dapat membantu operasi CARILAMAT.

“Oleh itu, pertama sekali kita sarankan kepada sesiapa yang menjalankan aktiviti perairan untuk sediakan jaket dan peralatan keselamatan di atas bot, kerana kita tidak pasti bila kejadian akan berlaku.

“Kedua, kita galakkan penggunaan lampu isyarat kecemasan atau PLP, alat sebesar tapak tangan ini akan beri isyarat kepada pusat kawalan dan memudahkan kerja mencari jika berlaku kecemasan.

Beliau turut menasihati kepada komuniti maritim agar merujuk laporan cuaca Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) sebelum turun ke laut dan tangguh jika keadaan tidak mengizinkan.