• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Peningkatan Kes 500 Peratus Bukan Kerana Varian Tapi...

KUALA TERENGGANU, 4 Ogos - Peningkatan kes sehingga 500 peratus dalam tempoh dua minggu di Mukim Manir termasuk Teluk Menara adalah disebabkan penularan di kalangan kontak keluarga dan kegagalan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP).

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak berkata, hasil kajian Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) itu melaporkan peningkatan kes positif harian COVID-19 daripada 74 kes kepada 398 kes dalam masa dua minggu di kawasan tersebut.

“Penularan akibat kontak keluarga dan rakan setempat ini melibatkan kes seperti rentas negeri dan daerah serta aktiviti sosial secara senyap-senyap terutamanya ketika musim hari raya Aidiladha.

“Hasilnya Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di seluruh mukim Manir dilaksanakan sehingga 18 Ogos melihat kepada penilaian risiko serta trend jangkitan COVID-19," katanya ketika bersiaran secara langsung di TVDI, semalam.

Sementara itu, Dr Alias turut menyentuh soal varian membimbangkan (VOC) Delta dan menafikan berita yang tular berkaitan 39 pesakit COVID-19 varian Delta dikesan di sekitar kawasan perumahan Kuala Ibai.

“Dalam negeri kita, hanya dua kes varian ini dikesan dan sembilan kes VOC Beta dilaporkan.

“Kenapa sejak kebelakangan ini berlaku rebakan kes begitu cepat dalam negeri?

“Ini bukan kerana varian, tetapi sikap kita sendiri yang gagal mematuhi SOP ditetapkan pihak berkuasa,” jelasnya.