• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Penjawat Awam Boleh Buat Pemotongan Gaji Untuk Tambah Saham Akhirat

Ghazali Taib (kiri) menyampaikan cenderahati kepada pesara JHEAT. Foto oleh Harish Fadzillah Kassim

Penjawat awam dinasihat supaya terus melakukan ibadat dan amalan kebajikan dengan cara bersedekah sebagai saham yang akan memberi keuntungan di hari akhirat kelak.
Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan Tugas-Tugas Khas Negeri, Ghazali Taib, berkata penjawat awam juga boleh bersedekah dengan cara membuat pemotongan gaji tidak lebih dari RM5 setiap orang sekali gus dapat menambah saham akhirat
“Dengan cara seperti ini, jumlah potongan tersebut dapat dimanfaatkan dengan membina sesuatu yang dapat dijadikan sebagai saham akhirat dengan menubuhkan madrasah, masjid ataupun surau di setiap daerah.
“Saya menyeru agar semua dapat melakukan ibadah ini untuk dijadikan saham akhirat tetapi tiada paksaan yang akan dibuat, terpulang kepada individu untuk memberi sedekah mengikut keikhlasan masing-masing.
“Saya berharap agar perkara ini dapat disambut baik oleh kakitangan kerajaan negeri dalam melakukan ibadah di masa akan datang,”katanya.
Beliau berkata demikian di majlis meraikan persaraan 32 Pegawai Dan Kakitangan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) Tahun 2017 di Dewan Auditorium Pusat Pentadbiran Islam Negeri Terengganu, hari ini.
Turut hadir, Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu, Dato’ Wan Mohd Wan Ibrahim.
Ghazali turut menasihati kepada pegawai dan kakitangan yang bersara agar mengisi masa yang terluang dengan perkara yang lebih berfaedah khususnya berkaitan dengan agama.
Sementara itu, Wan Mohd berkata Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) turut menubuhkan satu unit wakaf tunai bagi memudahkan kakitangannya untuk turut menambah saham akhirat dan membuat amal jariah.
Katanya, Maidam telah menetapkan kadar bayaran mengikut jawatan.
Bagaimanapun, terpulang kepada individu sama ada untuk membuat bayaran dengan kadar yang telah ditetapkan ataupun tidak.
Katanya, bagi imam dan bilal kadar bayaran hanya RM2 sahaja, manakala penjawat awam dan kakitangan pula, jumlah minima RM5 sahaja.
“Maidam menjangkakan dapat memungut jumlah wakaf tunai sehingga RM 1 juta untuk setahun bagi membina empat buah surau di setiap daerah. Sekiranya ingin membina masjid, masa untuk peruntukan pembinaan mungkin selama dua tahun.
“Kita juga telah lama membuat pemotongan gaji kakitangan. Saya berharap agar kakitangan awam yang lain turut melakukan hal yang sama agar kita dapat membina masjid ataupun surau bagi saham akhirat kita,” katanya.

Tag: