• 30 Apr 2024 | 21 Syawal 1445

Penjawat Awam Diminta Ikuti Kursus Adab Layan Pelanggan


KUALA TERENGGANU, 12 Februari - Penjawat awam, terutama yang bertugas di kaunter khidmat pelanggan di jabatan kerajaan  dan anak syarikat kerajaan negeri di Terengganu diminta mengikuti kursus adab dan tatasusila layanan pelanggan.

Langkah itu susulan daripada aduan tidak puas hati seorang pelanggan yang  berurusan dengan kakitangan di bahagian kaunter  khidmat pelanggan Yayasan Terengganu (YT), semalam  dengan menganggapnya sebagai tidak beradab.

Perkara itu menjadi tular dan mendapat pelbagai reaksi dan komen negatif daripada pengikut laman sosial Facebook.

Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, dia ada menerima maklumat mengenai perkara itu dan sudah meminta pegawai dan kakitangan YT termasuk individu  berkaitan memberi penjelasan.

Katanya, kerajaan negeri mewakili YT memohon kemaafan di atas kejadian yang berlaku dan akan berusaha menyelesaikannya sebaik mungkin supaya perkara sama tidak berulang.

“Perkara ini sudah dipanjangkan kepada pihak Setiausaha Kerajaan Negeri sebagai tindakan untuk melatih, memberi kursus khas kepada mana-mana kakitangan yang bertugas di kaunter perkhidmatan.
“Pendekatan itu tidak terhad kepada kakitangan YT sahaja malah turut melihatkan jabatan dan agensi bukan kerajaan seperti Syarikat Air Terengganu atau dengan kata lain mana-mana agensi yang saling berhubung dan berdepan dengan masyarakat luar,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Anugerah Sarjana Terengganu 2018 di Duyong Marina, Kuala Terengganu hari ini.



Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Abd Rahman Yahya dan Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahri Mamat.

Seramai 183 penerima Anugerah Sarjana Terengganu  di mana 33 daripadanya pelajar ikhtisas, masing-masing  menerima RM4,000 manakala selebihnya 150 pelajar bukan ikhtisas (RM2,000) hadir menerima sumbangan.


Ahmad Samsuri berkata, kerajaan negeri membelanjakan RM432,000 untuk diagihkan kepada 183 penerima anugerah itu.

“Program ini diadakan bertujuan memberi pengiktirafan kepada pelajar peringkat Ijazah Sarjana Muda yang mendapat kepujian kelas pertama dan setara,” katanya.
  



Tag: