• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Penjawat Awam Perlu Amanah, Jangan Politikkan Kerja - SUK

Wan Nawawi ketika berucap di Majlis Perhimpunan Bulanan Wisma Darul Iman  (WDI), di Dewan Besar WDI, Kuala Terengganu, pagi ini. Foto Oleh: Zulkifli C.W. Putra

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Wan Nawawi Wan Ismail menasihati penjawat awam agar melaksanakan tugas yang dipertanggungjawabkan dengan amanah, mematuhi polisi dan perundangan serta tidak `mempolitikkan' urusan kerja.

Menurut beliau, sebagai jentera kerajaan mereka perlu melaksanakan tugas dengan profesional termasuk dalam menyampaikan polisi dan dasar kerajaan kepada orang awam.

“Penjawat awam harus tahu tanggungjawab sebenar. Kita bekerja di bawah kerajaan yang diperintah oleh satu parti di mana tugas kerajaan yang memerintah adalah membuat polisi.

“Apabila dibuat polisi, adalah menjadi tanggungjawab kita sebagai penjawat awam untuk patuh dan melaksanakan apa yang diarahkan kerana pelaksanaan inilah yang dituntut dari kita,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Perhimpunan Bulanan Wisma Darul Iman (WDI), di Dewan Besar WDI, Kuala Terengganu, pagi ini.

Turut hadir, Penasihat Undang-Undang Negeri, Dato’ Azhar Abdul Hamid; Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ A. Rahman Yahya; Pengarah Tanah dan Galian Negeri, Dato’ Mohd Akil Mat; Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan) Zainal Abidin Hussin serta Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Rosman Roslan.

Pada majlis itu, Wan Nawawi turut menyempurnakan majlis penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang bulanan kepada kakitangan WDI untuk bulan Mac.


Katanya, jika penjawat awam tidak bersedia untuk melaksanakan tugas yang diamanahkan bermakna mereka tidak bersama dan tidak mampu mematuhi undang-undang yang diputuskan oleh kerajaan yang memerintah.

“Penjawat awam dibayar gaji dengan diberi tanggungjawab untuk melaksanakan tugas yang diamanahkan.

"Isu mahu sokong parti mana itu hak kita, tetapi selagi bergelar penjawat awam, kita wajib mematuhi undang-undang yang ditetapkan dan melaksanakan tugas sebaik mungkin,” ujarnya.

Tag: