• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Penjawat Awam Perlu Keluar Daripada Zon Selesa

KUALA TERENGGANU, 19 September – Ketua jabatan dan semua penjawat awam di negeri ini diingatkan agar jangan berada di zon selesa atau masih demam 'work from home' seperti Perintah kawalan Pergerakan (PKP) dan bekerja secara silo.

Tengku Seri Bijaya Raja, Setiausaha Kerajaan Negeri berkata, ia selaras dengan hala tuju baharu kerajaan Terengganu iaitu, pentadbiran negeri akan masuk ‘gear 3’.

Katanya, pentadbiran lebih agresif dan bergerak laju berbanding penggal lepas akan dilaksana dalam usaha merangka pelan secara komprehensif sebagaimana yang disuarakan oleh Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad samsuri Mokhtar.

“‘Move on’ dan kembali kepada kebiasaan dan pantas dalam menangani situasi. Banyak telah kita belajar semasa PKP, seperti membuat keputusan yang cepat, boleh bekerja  dengan situasi bertekanan tinggi, dan mesyuarat secara 'online' malah PKP mengajar kita era pendigitalan yang sangat efisen.

“Justeru, suka saya ingatkan kepada semua bahawa budaya kerja cemerlang ini perlu diterapkan dan segala gerak kerja perlu la selangkah ke hadapan daripada apa yang ada hari ini,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Perhimpunan Bulanan Dan Penyampaian Anugerah Pekerja Cemerlang Bulanan Warga Kerja Wisma Darul Iman Tahun 2023.

Pada majlis tersebut seramai 19 penerima Anugerah Pekerja Cemerlang (APC) Bulanan Warga Kerja Wisma Darul Iman bagi bulan Julai, Ogos dan September tahun 2023 menerima insentif kecemerlangan sebanyak RM500 berserta sijil penghargaan.

Menurut Tengku Seri Bijaya Raja, penganugerahan APC ini bukan sahaja merupakan pengiktirafan dan penghargaan kepada mereka yang terpilih malah sebagai penyuntik semangat dan pencetus azam untuk terus berkhidmat dengan lebih cemerlang khususnya dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan.

Dalam majlis yang sama, turut diserikan dengan Penyerahan Sijil Pengiktirafan Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA) Pejabat Setiausaha Kerajaan Terengganu Kali Yang Ketiga (2023 -2025) dan Penyampaian Sijil Anugerah Pendigitalan Pengurusan Rekod Sektor Awam kepada Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Terengganu.