• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Penjawat Awam Perlu Pegang Prinsip FASTER

KUALA TERENGGANU, 14 Disember - Penjawat awam perlu menjaga prestasi kerja supaya tidak menjejaskan mutu perkhidmatan kepada rakyat dengan mengambil kira sektor ekonomi yang terkesan semasa pandemik ini. 

Setiausaha Kerajaan Terengganu, Yang Berhormat Mulia Tengku Seri Bijaya Raja berkata, prinsip F.A.S.T.E.R iaitu 'Flat, Agile, Streamlined, Tech-enabled, Efficient and Resilient' perlu diaplikasikan dalam memastikan penjawat awam dapat melaksanakan tugas dengan cemerlang dan menjayakan setiap dasar yang dirancang sepenuhnya.

“Saya ingin memetik beberapa perkara yang diutarakan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali iaitu dalam memenuhi keperluan rakyat semasa tempoh pandemik ini, penjawat awam mesti menggenggam prinsip F.A.S.T.E.R.

"Rakyat amat dahagakan perkhidmatan yang pantas setelah beberapa bulan mereka tidak dapat bekerja, kehilangan pendapatan serta berdepan dengan krisis pengangguran. Justeru, kepada Perkhidmatan Awamlah tempat mereka bergantung harap dan meminta pertolongan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Warga Kerja Wisma Darul Iman di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, hari ini.

Turut hadir, Penasihat Undang-undang Negeri, Dato’ Razali Che Ani, Pegawai Kewangan Negeri, Zainal Abidin Mohamed, Pengarah Tanah dan Galian Negeri, Shahidan Embok dan Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan), Tun Ahmad Faisal Tun Abd Razak.

Sempena perhimpunan bulanan itu juga, beliau turut menyempurnakan penyampaian sijil kepada 43 penerima Anugerah Pekerja Cemerlang Bulanan Wisma Darul Iman bagi bulan April hingga Disember 2021 dan Anugerah Pengurusan Aduan Cemerlang Negeri Tahun 2020.

Menurut beliau, setiap jabatan perlu bekerja secara lebih flatter iaitu bersifat terbuka tanpa perlu terikat dengan peraturan lapuk dan terkongkong dengan pelbagai kerenah birokrasi. 

“Kita juga perlu lebih agile, maksudnya perlu lebih fleksibel dan responsif dalam pelaksanaan sistem dan proses kerja. Jangan sengaja lengah-lengahkan permohonan hanya kerana alasan prosedur dan carta alir kerja semata-mata. 

“Dalam pada itu, setiap jabatan perlu bersifat streamlined iaitu perlu lebih adaptif dan sensitif dengan perubahan dan keperluan semasa. Dengan situasi pandemik yang masih belum berakhir, kita perlu lebih peka dengan keperluan semasa dan kehendak rakyat dan stakeholders,” ujarnya.

Katanya, perkhidmatan yang diberikan kepada rakyat mestilah bersifat techenabled dengan memanfaatkan teknologi digital serta perubahan zaman yang dikemudi oleh Revolusi Industri 4.0 di dalam penyampaian perkhidmatan awam. 

“Setiap pelaksanaan inisiatif mesti dilakukan dengan cekap (efficient). Dalam keadaan di mana negara masih berada dalam tempoh pemulihan ekonomi, kita tidak mampu lagi untuk melakukan banyak kesilapan kerana setiap kesilapan yang dilakukan bermakna kerugian yang terpaksa ditanggung kerajaan. 

“Setiap penjawat awam mesti kekal teguh (resilient) bersama-sama kepimpinan Perkhidmatan Awam untuk merealisasikan strategi yang digariskan kerajaan seperti inisiatif PRIHATIN dan PENJANA. Sekiranya berlaku sebarang perkara yang tidak diduga, sentiasalah bermusyawarah dan mengambil langkah berhati-hati sebelum sebarang keputusan dibuat,” ujarnya.

Dalam hal ini katanya, sentiasalah berpegang kepada nilai-nilai ‘Kepercayaan untuk Berkhidmat’ iaitu integriti, kebersamaan, dinamik, interaksi dan khidmat bakti sebagai asas untuk memastikan kelestarian Perkhidmatan Awam bertunjangkan Budaya Kelas Pertama menjelang pencapaian Wawasan Kemakmuran Bersama pada tahun 2030 kelak.