• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Penjenamaan Baharu Pasukan Bola Sepak Terengganu


Ahmad Razif bersama barisan Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT)  selepas Kongres Tahunan PBSNT yang berlangsung hampir dua jam di  Hotel Primula.

Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) bersetuju membuat pembaharuan dengan menjenamakan semula  skuad bola sepak Terengganu sebagai Terengganu FC (TFC) I dan TFC II yang akan beraksi dalam kancah Liga Super dan Liga Perdana musim depan.

Keputusan  itu dicapai dalam Kongres Tahunan PBSNT yang dipengerusikan Presiden persatuan itu, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman yang juga Menteri Besar sekali gus menamatkan persoalan mengenai pasukan berstatus kelab T-Team sebelum ini sama ada kekal di Liga Super atau sebaliknya musim depan.

Katanya,  Liga Super 2018 hanya akan disertai skuad Terengganu yang akan dikenali sebagai TFC di bawah kendalian ketua jurulatih, Irfan Bakti Abu Salim.

“Pasukan TFC I ini akan dibarisi gabungan pemain terbaik daripada kedua-dua pasukan Terengganu dan T-Team, selain diperkuat dengan khidmat lima awang import berbanding empat musim ini.

“Manakala pasukan TFC II pula bertindak sebagai  pasukan ‘feeder’ kepada skuad TFC I di mana pasukan ini pula bermain untuk Liga Perdana. Mereka dibarisi seratus peratus pemain kelahiran Terengganu melibatkan gabungan pemain T-Team dan  Terengganu serta dua pemain import,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Kongres Tahunan PBSNT yang berlangsung hampir dua jam di Primula Beach Hotel , Kuala Terengganu, hari ini.

Katanya, selain TFC I dan TFC II, penstrukturan semula itu turut melibatkan kesemua pasukan pembangunan bola sepak Negeri Terengganu termasuk skuad Piala Presiden (TFC III), Piala Belia (TFC IV) dan Piala Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM)  B-17 (TFC V).

Dalam perkembangan yang sama, badan induk bola sepak Terengganu itu turut menubuhkan syarikat Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd yang bakal bertanggungjawab mengkomersialkan pasukan dari Terengganu sekali gus mampu bergerak sendiri tanpa bantuan kerajaan negeri pada masa akan datang.

“Jadi dengan langkah penjenamaan semula ini, ia sedikt sebanyak mampu mengurangkan kos yang ditanggung kerajaan negeri terhadap kedua-dua pasukan melibatkan Terengganu dan T-Team sebelum ini.

“Saya yakin dengan inisiatif yang dilakukan ini bukan sahaja mampu menambah kekuatan pasukan, malah berpeluang mencapai sasaran untuk menjulang sekurang-kurangnya satu piala musim depan,” katanya.


Dalam pada itu, Ahmad Razif turut memaklumkan jawatan pengendali TFC II akan ditentukan dalam masa terdekat selepas perbincangan diadakan dengan jurulatih T-Team, Rahmad Darmawan.

Tag: