• 23 Apr 2024 | 14 Syawal 1445

Penstrukturan Semula TDM Sumbang Dividen Tertinggi Sejak 2016

KUALA TERENGGANU, 25 Jun – Penstrukturan semula TDM Berhad (TDM) melonjakkan kembali prestasi anak syarikat milik kerajaan (GLC) Terengganu itu hingga berjaya membuat bayaran dividen sebanyak RM6 juta, tertinggi sejak 2016.

Pengerusi Kumpulan TDM, Raja Dato’ Idris Raja Kamaruddin berkata, semua segmen perniagaan yang dikelola TDM dikaji secara menyeluruh bagi meningkatkan hasil pendapatan serta mengurangkan kerugian.

“Penstrukturan semula memang dari segi pengurusan serta syarikat memang dibuat apabila kerajaan bertukar pada 2018, contohnya bagi sektor perladangan kita bukan sahaja fokuskan pada kelapa sawit tapi juga tanaman kontan.

“Begitu juga penggunaan buruh tenaga asing, kini kita lebih tumpukan kepada pengambilan buruh tempatan sebagai penuai,” katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat Agung Tahunan TDM ke-57 di Hotel Paya Bunga baru-baru ini.

Beliau turut menjelaskan bahawa pihaknya kini hampir pasti melepaskan aset di Kalimantan, Indonesia sekali gus menamatkan episod kerugian bagi TDM.

“Sejak kami diamanahkan pada 2018, terlalu banyak pembayaran balik perlu dibuat terutamanya ladang di Kalimantan yang menjadi punca kerugian dari 2015 hingga sekarang.

“Pembayaran di Kalimantan setakat ini berjumlah RM780 juta, itu yang menyebabkan kita (TDM) perlu hadapi kerugian pada awalnya,” ujarnya.

Pada masa yang sama, Raja Idris memaklumkan bahawa nilai buku bagi Kalimantan yang dimumkan kepada Bursa Malaysia adalah sebanyak RM89 juta setelah harga ditawarkan sebanyak RM115 juta.

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021, TDM Berjaya melonjakkan pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan penulasan (EBITDA) dalam perladangan sebanyak 96.5 peratus kepada RM176.5 juta manakala segmen kesihatan meningkat 80.2 peratus kepada RM23.6 juta.