lightning-solid
Berita :
Pensyarah UMT Pertama Asia Tenggara Dipilih Sebagai Penyelidik Tamu Institusi Diraja Arab Saudi
Pensyarah UMT Pertama Asia Tenggara Dipilih Sebagai Penyelidik Tamu Institusi Diraja Arab Saudi
Rohayati Ripin
4 jam yang lepas
66

KUALA TERENGGANU 4 Ogos – Pensyarah Jabatan Kenegaraan dan Ketamadunan, Pusat Pendidikan Asas dan Lanjutan (PPAL), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Profesor Madya Dr. Riswadi Azmi mencipta sejarah apabila menjadi penyelidik pertama dari Asia Tenggara yang dipilih sebagai Penyelidik Tamu (Visiting Researcher) di King Abdulaziz Foundation for Research and Archives (DARAH), Riyadh, Arab Saudi.

Menurut UMT, lebih membanggakan, beliau merupakan antara hanya tiga penyelidik dari seluruh dunia yang dipilih menyertai kohort sulung program berkenaan bersama wakil dari Jerman dan Australia.

"Pemilihan itu mengiktiraf kepakaran Dr. Riswadi dalam bidang manuskrip Alam Melayu, khususnya penyelidikan mengenai manuskrip al-Quran Diraja Terengganu, sekali gus mengangkat keupayaan penyelidikan Malaysia dalam bidang manuskrip al-Quran dan warisan tamadun Islam ke peringkat antarabangsa.

"Pelantikan tersebut merupakan pengiktirafan terhadap kepakarannya dalam bidang manuskrip Alam Melayu, khususnya penyelidikan berkaitan manuskrip al-Quran Diraja Terengganu sekali gus mengangkat keupayaan penyelidikan Malaysia dalam bidang manuskrip al-Quran dan warisan tamadun Islam ke peringkat antarabangsa," jelas UMT dalam laman facebook rasmi, hari ini.

Sepanjang tempoh pelantikan, beliau akan menjalankan penyelidikan yang membandingkan manuskrip al-Quran dalam koleksi DARAH dengan tradisi penyalinan manuskrip al-Quran di Asia Tenggara, melibatkan aspek seni iluminasi, khat, pembahagian ayat dan juzuk serta ciri-ciri kodikologi manuskrip.

Dalam pada itu, Dr. Riswadi berkata, penyelidikan itu bukan sahaja memperkukuh pemahaman terhadap sejarah perkembangan tradisi penyalinan al-Quran, malah membuka ruang kepada kerjasama akademik yang lebih erat antara Malaysia dan Arab Saudi.

"Hasil penyelidikan ini diharap dapat diterbitkan dalam jurnal antarabangsa, dibentangkan pada persidangan ilmiah, selain dimanfaatkan untuk memperkukuh pengajaran, penyelidikan dan usaha pemeliharaan warisan manuskrip Islam di Malaysia," katanya.

Dalam masa yang sama, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) yang menjalankan fungsi Naib Canselor UMT, Profesor Dr. Suriyani Muhamad berkata pelantikan tersebut membuktikan pengiktirafan masyarakat akademik antarabangsa terhadap kecemerlangan penyelidikan warga UMT.

"Pengiktirafan ini bukan sahaja memperkukuh reputasi UMT sebagai universiti yang aktif memacu penyelidikan berimpak tinggi, malah membuka peluang memperluas kerjasama strategik dengan institusi penyelidikan bertaraf dunia, khususnya dalam bidang warisan Islam, manuskrip Melayu dan tamadun Islam," katanya.

Tambahnya, DARAH merupakan institusi penyelidikan, arkib dan dokumentasi sejarah milik Kerajaan Arab Saudi yang berperanan memelihara serta membangunkan khazanah sejarah, manuskrip dan warisan kebangsaan.

"Institusi itu menjadi antara pusat rujukan utama dunia bagi penyelidikan sejarah, manuskrip dan tamadun Islam," katanya.



Tag :

Artikel Berkaitan