lightning-solid
Berita :
Pentadbiran Daerah Perlu Dinamik, Penuhi Kehendak Rakyat
Pentadbiran Daerah Perlu Dinamik, Penuhi Kehendak Rakyat
Mastura Jamal Din
17 jam yang lepas
22

HULU TERENGGANU, 23 Februari – Tahap penyampaian perkhidmatan awam perlu sentiasa dinilai bagi memastikan ia benar-benar memenuhi kehendak rakyat dan tidak sekadar memuaskan hati pentadbiran semata-mata.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato'  Mohd Azmi Mohamad Daham berkata penjawat awam tidak boleh cepat melenting sekiranya menerima teguran masyarakat, sebaliknya perlu meneliti semula mutu perkhidmatan yang diberikan.

Menurut beliau, setiap warga pentadbiran perlu mengekalkan semangat kerja tinggi serta melaksanakan amanah dengan penuh komitmen dalam setiap urusan penyampaian kepada rakyat.

SYA_0752.jpg 1.19 MB
“Jangan syok sendiri dalam memberi perkhidmatan. Sebaliknya, kaji semula proses kerja supaya benar-benar memberi manfaat kepada masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian di Majlis Amanat YB Setiausaha Kerajaan bersama Penjawat Awam Hulu Terengganu di Dewan Majlis Daerah Hulu Terengganu semalam.

Turut hadir Pegawai Kewangan negeri, Dato’ Tun Ahmad Faisal Tun Ahmad Razak, Pengarah Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Terengganu, Datuk Ab Rasid Jusoh dan Timbalan Setiausaha Kerajaan negeri (Pengurusan) Dato' Jusman Ibrahim.

Tambah beliau, sebagai barisan hadapan pentadbiran daerah, kakitangan kerajaan memainkan peranan signifikan dalam memastikan daerah itu terus berkembang setanding kawasan lain.

Katanya, Hulu Terengganu memiliki pelbagai keunikan tersendiri termasuk tarikan pelancongan seperti Tasik Kenyir, selain potensi sektor makanan yang menjadikannya antara penyumbang hasil makanan negeri kedua terbesar selepas Setiu.
SYA_0424.jpg 1.37 MB
“Keistimewaan ini perlu dipelihara dan dimanfaatkan untuk menjana ekonomi setempat di samping mengekalkan khazanah warisan bersejarah seperti Batu Bersurat Terengganu,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan tema Pentadbiran Dinamik Perkhidmatan Cemerlang bukan sekadar slogan, tetapi perlu diterjemahkan dalam konteks geografi, sosioekonomi dan aspirasi rakyat setempat.

Tambahnya, sifat dinamik menuntut penjawat awam supaya tidak terlalu selesa dengan keadaan semasa, sebaliknya berani menilai semula prosedur kerja yang tidak lagi relevan serta memansuhkan peraturan lapuk bagi mengurangkan kerenah birokrasi.

Beliau turut menyeru agar budaya kerja berprestasi tinggi terus diperkasakan dengan menitikberatkan profesionalisme, kecekapan, ketangkasan serta empati supaya setiap keputusan dan perkhidmatan dapat disampaikan secara konsisten dan tepat.

“Sebarang keputusan melibatkan kesejahteraan rakyat mesti dilaksanakan segera tanpa kelewatan tidak perlu,” katanya.
SYA_0567.jpg 1.39 MB


Tag :

Artikel Berkaitan