• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Penternak Disaran Usahakan Padang Ragut Tok Him

KUALA NERUS, 9 Mei -Kerajaan Negeri Terengganu menyeru pengusaha atau penternak untuk mengusahakan ladang haiwan ternakan di 29.24 hektar padang ragut yang masih belum diusahakan sebelum ini.

Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Dun Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail berkata selain dijadikan ladang pengeluaran ruminan, padang ragut itu juga boleh ditanam dengan rumput napier sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap palet makanan haiwan.

"Usaha itu juga berupaya meningkatkan saiz pengeluaran haiwan ternakan dan bekalan daging bagi menampung keperluan rakyat sekali gus mengekalkan harga bekalan makanan itu

"Juga membolehkan masalah haiwan seperti lembu dan kambing yang berkeliaran di kawasan jalan raya utama dan kawasan kebun serta pekan dapat diatasi dengan meletakkan haiwan tersebut di kawasan padang ragut ini ini akan memastikan para pemilik haiwan ternakan berkenaan dapat mengawal pergerakan haiwan mereka.

"Telah ampai masanya ladang ini dibangunkan sebagai kawasan perternakan haiwan berikutan kawasan padang ragut ini terletak di kampung-kampung memiliki keluasan yang sesuai untuk aktiviti demikian,"katanya.

Beliau menjelaskan demikian pada Program CSR Ternakan Padang Ragut Rakyat bersama Ketua-ketua Kampung selaku Pemegang Amanah Padang Ragut Tok Him di sini semalam.

Turut hadir merasmikan, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Negeri Terengganu, Yang Berhormat Helmi Harun dan turut serta Pengarah Veterinar Negeri Terengganu, Dr Anun Man.

Selain menjadi tempat ternakan haiwan, kawasan ini juga boleh menjadi tarikan pelancong sekiranya diusahakan dengan perancangan yang betul.

Mengambil contoh kawasan pelancongan dan penternakan lembu salah satu daerah di Sabah beliau mencadangkan kepada para usahawan belia di daerah ini agar turut mengambil peluang mengusahakan kawasan padang ragut sebagai ‘cattle feedlot’ kerana dapat menjana pendapatan ekonomi berikutan permintaan sentiasa ada.

Katanya, setakat ini sebahagian padang ragut yang sedang dibangunkan oleh pihak Jabatan Perkhidmatan Veteriner antaranya memagar dan menanam rumput untuk makanan ternakan.

"Namun masih belum mencukupi untuk menampung keperluan haiwan ternakan dan kita mengharapkan kerjasama dari belia dan penduduk kampung untuk memperkasakan lagi pembangunan kawasan ini," jelasnya.

Beliau juga mengalu-alukan pelabur dari luar untuk membangunkan kawasan padang ragut di sekitar daerah ini dengan mematuhi syarat dan terma yang dikeluarkan oleh pemegang amanah.

 


Tag: