• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Penternak Rugi Ratusan Ribu Ternakan Mati Akibat Banjir

HULU TERENGGANU, 1 Mac- Kejadian banjir yang melanda sekitar Kampung Sekayu di sini menyebabkan dua penternak mengalami kerugian ratusan ribu apabila ternakan lembu dan kambing yang diusahakan mati dan hilang.

Seorang penternak, Che Ku Mansor Che Ku Saleh, 65 berkata, dia mengalami kerugian lebih RM20 ribu apabila 20 ekor kambing ternakannya mati.

Selain itu, katanya, 40 ekor lembu serta 20 ekor kerbau yang diletakkan di kandang berasingan kira-kira 3 km dari rumah juga tidak dapat diselamatkan dan  nilai kerugian ditanggung bagi kesemua 60 ekor ternakannya mencecah RM160,000.

"Tak sempat nak selamatkan sebab air naik mendadak kerana air naik terlalu pantas ketika banjir buruk melanda pada Ahad lalu. 

"Saya pelihara haiwan ternakan ini sejak 30 tahun lalu. Biasanya setiap kali banjir saya sudah bersedia memindahkan lembu ke lokasi selamat. 

"Banjir kali ini saya tidak sempat bersedia lebih awal kerana air naik tanpa diduga. Bayangkan bangsal kambing yang dibina tinggi masih lagi dinaiki air sedalam 3.5 meter," katanya ketika ditemui pemberita, disini, pada Selasa. 

Menurut Che Ku Mansor, terdapat lebih 20 penternak yang senasib dengannya dan nilainya mencecah lebih ratusan ribu ringgit.

Sementara itu, abangnya, Che Ku Endut Che Ku salleh, 70 berkata, 28 ekor lembunya sehingga gagal ditemui kerana kawasan kandang ternakannya turut ditenggelami air.

"Banjir kali ni diluar jangka dan memang kami tidak buat apa-apa...terpaksa lihat apa yang berlaku didepan mata.

"Hanya redha dan pasrah dan berharap banjir besar tidak berulang lagi kerana trauma seluruh penduduk kampung masih belum hilang,"katanya.