SETIU, 19 Ogos – Langkah tegas terpaksa diambil pihak berkuasa tempatan dengan menutup pembahagi jalan di simpang masuk Masjid Jabi, di sini, bagi mengelakkan pertambahan kes kemalangan berisiko maut di kawasan berkenaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Dato’ Dr Azman Ibrahim berkata, keputusan tersebut dicapai hasil perbincangan mendalam serta sepakat antara pelbagai pihak termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kerja Raya (JKR), Pusat Khidmat ADUN Jabi, dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK).
Menurutnya, walaupun menyedari keputusan itu tidak dapat memuaskan hati semua pihak, tindakan berkenaan amat perlu dilaksanakan demi maslahat dan keselamatan orang ramai dalam jangka masa panjang.
“Kita tidak perlu menunggu ada korban seterusnya berjatuhan di sini. Walaupun ada pelbagai cadangan lain diterima seperti menempatkan anggota polis berkawal, memasang lampu isyarat, mahupun membina bonggol jalan, penutupan ini merupakan langkah paling wajar.
“Hakikatnya, reka bentuk jalan tersebut tidak salah. Sebaliknya sikap sesetengah pengguna yang suka mengambil jalan pintas dan melanggar peraturan demi mengejar masa menjadi punca utama keselamatan diri serta orang lain terancam,” katanya.

Mengulas lanjut, Dr Azman memberitahu antara bentuk kesalahan lalu lintas yang sering berlaku di lokasi berkenaan termasuklah membuat pusingan U di tempat tidak dibenarkan, memandu secara melawan arus, serta melintas jalan secara berbahaya.
Beliau turut menjelaskan bahawa laluan Jalan Persekutuan Pekan Jabi yang berjarak tidak sampai tiga kilometer itu sebenarnya sudah mempunyai kemudahan pusingan U yang mencukupi untuk kegunaan orang awam.
“Lokasi pusingan U sedia ada adalah di hadapan Stesen Minyak Caltex dan Stesen Minyak BHP. Malah, satu lagi lokasi pusingan U baharu telah mendapat kelulusan untuk dibina di Simpang Jalan Kampung Cabang 3 Oh.
“Tiga lokasi pusingan U ini sudah memadai untuk laluan sepanjang jarak berkenaan,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau memohon maaf kepada penduduk tempatan serta pengguna jalan raya atas sebarang kesulitan yang timbul berikutan penutupan laluan tersebut, namun menegaskan bahawa keselamatan nyawa rakyat sentiasa menjadi keutamaan pihak pentadbiran.
Beliau turut menitipkan pesanan secara berseloroh namun tegas agar pembahagi penghadang konkrit (concrete barrier blocks) yang telah dipasang di situ tidak dialihkan secara haram oleh mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab demi kepentingan peribadi.