• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Penyanyi, Pemuzik Yang Tercicir  Dari Senarai Royalti Diminta Hubungi MyIPO

HULU TERENGGANU, 11 Disember - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengalu-alukan penyanyi dan pemuzik rakaman yang tercicir dari senarai pembayaran awal royalti muzik  menghubungi Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO).

Timbalan Menterinya, Dato' Rosol Wahid berkata, mana-mana yang bernaung di bawah badan pelesenan Recording Performers Malaysia (RPM) dan Performers Rights and Interest Society of Malaysia Berhad (PRISM) boleh berbuat demikian secepat mungkin untuk tindakan seterusnya.

Katanya, ia mungkin berlaku keciciran di pihak pengurusan di Jabatan Insolvensi dan pertubuhan yang menguruskannya  kerana menghadapi kekangan kerana ketiadaan rekod.

"Kami di KPDNHEP memang sentiasa peka dan memahami keresahan penggiat industri seni yang terkesan kerana hilang punca pendapatan akibat pandemik COVID-19. 

"Walaupun KPDNHEP melalui agensinya, MyIPO hanya sebagai pemudahcara atau badan perantara dalam isu ini, kami memandang serius permasalahan yang membelenggu penggiat seni tempatan ini,"ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau tanah runtuh di Kampung Pasir Nering, hari ini.

Tambah Rosol, bayaran awal tunggakan royalti  kira-kira 1,000 penyanyi dan pemuzik rakaman hanya dapat dibuat pada Januari 2021, kerana tertakluk kepada prosedur kewangan kerajaan yang dilaksanakan pada setiap akhir tahun.

"Mereka akan menikmati bayaran awal tunggakan royalti berkenaan yang akan dibayar oleh Music Rights Malaysia (MRM) kepada RPM dan PRISM melalui Jabatan Insolvensi (MDI) selaku badan penyelia PRISM, selepas ia dibubarkan pada November 2018," ujarnya.

Justeru itu, katanya, adalah tidak adil mengatakan kerajaan main-main atau melewatkan pembayaran tunggakan royalti muzik itu kerana hakikatnya ia terpaksa dibayar pada Januari berikutan tertakluk kepada prosedur kewangan kerajaan. 

“Jadi apabila berjaya menemui jalan penyelesaian pada mesyuarat Rabu lalu di MyIPO, kita putuskan untuk salurkan bayaran awal dahulu RM500 kepada ahli RPM dan PRISM yang terlibat dan bakinya akan kita bayar selepas selesai mendapatkan jumlah bayaran yang tepat. 

"Ini kerana bayaran bagi setiap ahli adalah berbeza mengikut kadar pengunaan dan penyiaran karya mereka di stesen radio dan televisyen tempatan,” katanya.

 

 


Tag: