• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Penyelamat Mangsa Lemas Terima Anugerah Wira

KUALA TERENGGANU, 21 Disember - Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Aur, Che Ku Marzuki Che Ku Dalam menerima Anugerah Khas Wira Masyarakat dalam Majlis Anugerah Kecemerlangan JPKK Daerah Kuala Terengganu yang diadakan baru-baru ini.

Anugerah tersebut telah diberikan sebagai tanda menghargai usaha beliau demi menyelamatkan mangsa lemas di Pantai Pandak Chendering pada 11 Januari 2020 yang lalu dalam satu tragedi melibatkan empat orang mangsa.

Che Ku Marzuki penerima Anugerah Khas Wira Masyarakat

Menceritakan pengalaman tersebut, Che Ku Marzuki berkata pada awalnya beliau menerima satu panggilan sekitar jam 5 petang yang mengatakan ada orang lemas di Pantai Pandak.

“Kemudian saya terus bergegas ke Pelabuhan Chendering dan mengambil bot fiber saya menuju ke tempat kejadian,” kata Che Ku Marzuki ketika menceritakan detik kejadian tersebut kepada pemberita. 

Menurut beliau keadaan ombak ketika itu agak besar dan berisiko. 

“Setibanya di tempat kejadian, saya lihat mangsa terkapai-kapai lalu saya campakkan pelampung bagi menyelamatkan mangsa. 

“Malangnya 3 orang lagi mangsa tidak dapat diselamatkan kerana keadaan ombak yang sangat berisiko pada ketika itu,” jelasnya lagi. 

Beliau turut memberikan pesanan agar masyarakat tidak mengadakan sebarang aktiviti di tepi pantai dalam musim tengkujuh ini kerana keadaan yang berbahaya. 

Selain itu, beberapa penghargaan lain juga diberikan dalam majlis tersebut antaranya Insentif Penyertaan Pertandingan Aspirasi Keluarga Malaysia Peringkat Negeri Terengganu yang diberikan kepada JPKK Padang Midin dan Anugerah Kecemerlangan JPKK bagi setiap mukim dalam Daerah Kuala Terengganu. 

Turut hadir Ahmad Faris Abd Razak, Pegawai Daerah Kuala Terengganu yang merasmikan majlis tersebut dan menyampaikan anugerah-anugerah kepada penerima.

Penerima Anugerah Kecemerlangan JPKK dalam Daerah Kuala Terengganu
Penerima Anugerah Kecemerlangan JPKK bagi mukim dalam DUN Batu Buruk