• 24 Jul 2024 | 17 Muharam 1446

‘Penyelesaian Dua Negara’ Israel-Palestin Dijangka Hangatkan Parlimen Esok

KUALA LUMPUR, 23 Jun - Soalan lisan berkaitan pendirian Kerajaan Malaysia mengenai dasar penyelesaian dua negara (Israel-Palestin) dijangka akan menghangatkan persidangan Dewan Rakyat yang bermula esok.

Berdasarkan aturan urusan mesyuarat Dewan Rakyat, soalan berkenaan akan ditanya Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang pada jam 10 pagi.

Soalan itu mahu Menteri Luar Negeri, Dato’ Seri Mohamad Hasan menyatakan sejauh mana hasrat kerajaan untuk menyemak semula dasar ‘two state solution’ atau penyelesaian dua negara bagi mempertahankan kedaulatan rakyat Palestin di Gaza.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini dilapor berkata, pertemuannya dengan pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh di Doha, Qatar bulan lalu adalah untuk menjamin penyelesaian berkenaan situasi di Gaza pada ketika ini.

"Saya meminta mereka untuk menghormati keputusan negara-negara jiran selain cuba untuk menjamin keamanan, melalukan pertukaran pembebasan tahanan dan menerima 'penyelesaian dua negara'.

"Adakah itu satu kesalahan? Adakah saya mempromosikan keganasan? Tidak. Saya merayu kerana saya mempunyai kelebihan, apa kelebihan saya, saya mengenali mereka, mereka menganggap saya sebagai kawan,” tegas Anwar.

Untuk rekod, Bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, menyeru supaya penyelesaian dua negara diabaikan Malaysia.

"Israel langsung tidak percaya dengan penyelesaian dua negara. Mereka tidak melakukan apa-apa dalam dekad yang lalu untuk menunjukkan mereka komited terhadap penyelesaian dua negara," katanya.

Selain itu, badan pemikir Centre for Human Rights Research and Advocacy (Centhra) mempersoalkan pendirian Perdana Menteri yang menyokong penyelesaian dua negara.

"Memandangkan komitmen Malaysia di masa lalu terhadap pemerintahan sendiri dan hak asasi manusia, kami menggesa perdana menteri mempertimbangkan semula dan mengambil pendirian yang lebih tegas terhadap apartheid Israel," kata Azril Mohd Amin dari Centhra.

Beliau juga menambah penyelesaian tersebut hanya boleh berlaku atas dasar mematuhi undang-undang antarabangsa dan hak asasi manusia untuk rakyat Palestin.


Tag: