• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Penyertaan Techlympics 2022 Lebih 28 Juta

KUALA TERENGGANU, 31 Oktober - Malaysia Techlympics 2022(Techlympics) di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melepasi 28 juta sasaran penyertaan anak muda seluruh negara sejak dilancarkan tahun ini.

Timbalan Menteri MOSTI, Datuk Ahmad Amzad Hashim, berkata ini termasuk lebih 27 juta penyertaan secara digital dan lebih satu juta lagi secara fizikal.

Program itu katanya, melibatkan keseluruhan rakyat termasuk kawasan bandar, luar bandar dan kaum asal berumur antara tujuh hingga 30 tahun.

“Saya masih ingat ketika kita (MOSTI) melancarkan penutupan Techlympics untuk zon timur di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) antara pemenang-pemenang utama adalah sekolah-sekolah dari kalangan orang asal termasuk dari  Gua Musang Kelantan yang datang menerima hadiah pencapaian.

“Ini menunjukkan satu berita baik kepada rakyat Malaysia bahawa pendidikan kita dalam sektor sains, teknologi dan inovasi bukan lagi dikaitkan dengan soal mereka yang berada di kawasan perbandaran sahaja,” ujarnya.

Bahkan katanya mereka yang tinggal di luar bandar tinggi minat dan mempunyai cita-cita yang tinggi dalam bidang-bidang berkenaan.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media di Pusat Media Badan Perhubungan PAS Terengganu di sini hari ini.

Beliau yang juga bekas Ahli Parlimen Kuala Terengganu, berkata MOSTI menjangkakan penyertaan digital hanya sekitar lima juta tetapi penyertaan sebenar melebihi 27 juta. 

“Ini adalah ukuran yang dibuat dalam masa sebulan yang lalu ketika saya merasmikan penutupan Techlympics Zon Timur di UMT,” jelasnya.

Untuk rekod, Techlympics merupakan satu inisiatif di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).
 
Techlympics akan diadakan secara berperingkat dan besar-besaran di seluruh negara dalam usaha meningkatkan  bakat muda dalam bidang AI, robotik, kod, dron dan juga bidang-bidang teknologi baru dalam kalangan peserta  yang  berumur 7 hingga 30 tahun. 

Dengan ini, ia akan membawa golongan muda bersama-sama kerajaan memacu pertumbuhan ekonomi negara melalui pencapaian indeks inovasi dunia yang lebih tinggi.

Aktiviti-aktiviti yang direka di bawah Techlympics adalah berlandaskan bidang keutamaan Rangka Kerja 10-10 Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi (MySTIE) yang dibangunkan MOSTI termasuk Sains, Kejuruteraan Pengkomputeran dan Pengkomputeran Mikro, Internet Kebendaan (IOT), Robotik, Dron, Matematik, Reka Bentuk Kreatif dan Animasi dan Pencetakan dan Pembangunan 3D.

 


Tag: