Perantau Faham, Simpati Kekangan Dihadapi Terengganu

ALOR SETAR, 10 Januari - Rata-rata rakyat Terengganu yang berada di perantauan memahami situasi semasa dan kekangan yang dihadapi kerajaan Terengganu dalam membangunkan negeri.

Menurut Presiden Persatuan Anak Terengganu di Perantauan (PERANTAU), Prof Madya Dr Nuri Al-Amin Endut, langkah baru kerajaan Persekutuan yang menyukarkan pembayaran royalti, menimbulkan respon positif di kalangan mereka.

"Anak-anak Terengganu (di perantauan) keseluruhannya, apabila kami bertemu, kami melihat mereka memahami situasi yang berlaku kerana ini bukannya kali pertama.

"Perkara ini pernah dialami dahulu dan rakyat yang melaluinya buat kali kedua, lebih memahami dan lebih matang.

"Mereka lebih bersimpati dengan situasi semasa dalam keadaan prestasi kerajaan negeri yang cukup baik, tetapi masih dihukum kerajaan Persekutuan atas alasan tidak munasabah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas pertemuan pimpinan kerajaan negeri bersama anak-anak Terengganu di Puji Arabian Delight; salah satu perniagaan yang diusahakan anak Terengganu di sini, semalam.

Majlis pertemuan yang dihadiri sekitar 50 rakyat Terengganu yang menetap di Kedah dan Perlis itu disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri Terengganu, Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah.

Hadir sama, ADUN Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail dan Setiausaha Akhbar Menteri Besar, Mohd Nasir Razak.

Dr Nuri menambah bahawa PERANTAU sendiri memandang serius perkara berkenaan dan telah bertindak membawa memorandum ke parlimen tahun lalu.

"Ini adalah suatu hak kerajaan negeri yang wajib dituntut, itu antara penegasan kita tentang royalti.

"Kami terharu dengan tindakan kerajaan negeri yang sentiasa datang bertemu dengan kami (perantau) serta berusaha dengan bajet yang terhad, tetap menitikberatkan untuk menyelesaikan bantuan khususnya i- perantau," katanya.

Dalam pada itu, mewakili penganjur program, Penolong Pengarah Kanan Urus Setia Wanita Terengganu (USWA), Nor Farahdila Mohamad memaklumkan bahawa anak-anak perantauan memberikan respon positif dalam pertemuan tersebut.

"Sangat baik, rakyat Terengganu yang berada di luar teruja hadir dan ingin bertanya beberapa soalan tentang perkembangan yang berlaku di negeri Terengganu.

"Antara soalan yang ditanya berkait dana perantau, bantuan persekolahan malah infrastruktur di Terengganu seperti perbaikan jalan," katanya.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 


Tag: