• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Peratus Penggunaan Katil Hospital Di Terengganu Tertinggi

KUALA LUMPUR, 11 Oktober - Kadar penggunaan katil di hospital seluruh negara direkodkan sebanyak 67.7 peratus semalam, dengan penggunaan katil tertinggi adalah di Terengganu iaitu 83.4 peratus.

Berdasarkan laman web COVIDNOW, jumlah itu meliputi penggunaan katil untuk kes bukan COVID-19, bagi memberi gambaran yang tepat mengenai sistem kesihatan awam secara menyeluruh.

Selain itu, penggunaan katil Unit Rawatan Rapi (ICU) direkodkan sebanyak 61.6 peratus, manakala bagi alat bantuan pernafasan (ICU) adalah 42.5 peratus.

Kadar kapasiti di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) pula berada pada tahap 51.3 peratus.

Sebanyak 64 kes kematian akibat COVID-19 dilaporkan semalam, dengan 14 kes adalah kematian di luar hospital (BID), menjadikan jumlah keseluruhan kematian akibat virus itu setakat ini adalah 27,329 kes.

Selain itu, sebanyak 116,596 kes aktif COVID-19 turut dilaporkan semalam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, semalam memaklumkan, data terkini Kementerian Kesihatan (KKM) menunjukkan vaksinasi berjaya menurunkan kadar kemasukan pesakit COVID-19 ke ICU sebanyak 83 peratus dan kadar kematian akibat jangkitan COVID-19 sebanyak 88 peratus.

Katanya, vaksin mengurangkan risiko jangkitan, mencegah daripada mendapat jangkitan yang lebih teruk, mengurangkan risiko kematian akibat COVID-19 dan mengurangkan beban sistem kesihatan.

-- BERITA HARIAN


Tag: