• 15 Okt 2024 | 12 Rabiul Akhir 1446

Perdana Menteri Tiba Lawatan Kerja Ke Terengganu

Perdana Menteri disambut meriah sebaik tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM), Kuala Nerus kira-kira jam 4.50 petang. Foto Zulkifli Putra 


Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul  Razak tiba di Lapangan Terbang SultanMahmud (LTSM), Kuala Nerus kira-kira 4.50  petang hari ini untuk lawatan kerja selama dua hari ke tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kuala Nerus, Besut dan Dungun.

Ketibaan pemimpin nombor satu negara itu disambut oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman.


Turut mengiringi, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar; Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Dato’ Seri Ahmad Shabery Cheek, barisan exco kerajaan negeri dan pemimpin setempat.

Sejurus tiba, beliau yang diiringi Ahmad Razif dan rombongan  bergerak ke tapak Majlis Perasmian Pecah Tanah Projek Perumahan Rakyat Bukit Nanas di Tepoh, Kuala Nerus.

Selepas itu, Perdana Menteri dijadual mengadakan perjumpaan khas bersama Biro Perhubungan UMNO Negeri Terengganu dan Ahli Dewan Undangan Negeri dan Parlimen negeri di Kediaman Sri Setia pada sebelah malam.


Pada keesokannya, kira-kira jam 8 pagi, beliau akan berlepas menaiki helikopter dari LTSM bagi menghadiri Majlis Pecah Tanah Pemuliharaan Muara Sungai Besut yang dikenali sebagai gerbang pelancongan Terengganu di Kuala Besut.

Pada jam 3 petang pula Perdana Menteri akan melancarkan program Jom Bantu Rakyat peringkat negeri di Tapak Perumahan Idaman Rakyat (SPNB) di Kampung Santong, Paka, Dungun.

Tag: