lightning-solid
Berita :
PERHILITAN Pantau Pergerakan Gajah Liar Selepas Insiden Di LPT2
PERHILITAN Pantau Pergerakan Gajah Liar Selepas Insiden Di LPT2
Muhammad Fakhruddin Bin Nordin
1 jam yang lepas
31

KUALA TERENGGANU, 6 Ogos – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Terengganu sedang giat mengesan sekumpulan gajah liar yang dipercayai terlibat dalam insiden sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) merempuh haiwan berkenaan di Kilometer 274.6 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), berhampiran susur keluar Plaza Tol Cheneh, semalam.

Pengarah PERHILITAN Terengganu, Dennis Ten Choon Yung, berkata operasi pemantauan dijalankan dengan menggunakan dron bagi mengenal pasti lokasi dan pergerakan kumpulan gajah tersebut, yang dipercayai keluar dari kawasan Hutan Simpan Bukit Bandi, kira-kira lapan kilometer dari lokasi kejadian.

Beliau berkata, seramai enam anggota PERHILITAN telah digerakkan ke lokasi bermula jam 12.30 tengah malam bagi mengawal keadaan, memantau pergerakan haiwan liar serta memastikan keselamatan pengguna lebuh raya.

Menurutnya, tindakan lanjut akan diambil sekiranya kumpulan gajah itu dikesan masih berada berhampiran laluan LPT2 bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, dan Perubahan Iklim Negeri, Datuk Razali Idris menegaskan orang ramai tidak perlu panik sekiranya terserempak dengan gajah liar, tidak menghampiri atau membaling objek ke arah haiwan berkenaan, selain mengelakkan penggunaan hon, lampu tinggi atau lampu denyar yang boleh mencetuskan tindak balas agresif.

Tambahnya, pengguna jalan raya juga disarankan memberi laluan kepada gajah untuk melintas dengan selamat serta mengekalkan jarak yang sesuai sehingga keadaan kembali terkawal.


Tag :

Artikel Berkaitan