BESUT, 9 Jun - Seramai 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terkorban dalam nahas bas di Gerik, Perak, awal pagi tadi sedang dibawa pulang ke Terengganu untuk disemadikan di kampung halaman masing-masing.
Konvoi pertama, membawa dua jenazah dari Hospital Gerik dijangka tiba di negeri ini sekitar jam 10 malam hingga 11 malam, selepas bertolak pada jam 7 malam tadi sebaik semua urusan forensik dan pengurusan jenazah selesai.
Kira-kira jam 9 malam tadi pula, konvoi membawa 13 jenazah dari Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh telah bergerak menuju Besut.
Kesemua jenazah akan disolatkan di Masjid Hadhari, Jerteh.
Terdahulu, kesemua mangsa terlibat dalam kemalangan tragis di Jalan Raya Timur-Barat, Gerik, sekitar jam 1 pagi Isnin, melibatkan sebuah bas ekspres dan sebuah MPV Perodua Alza.
Bas yang membawa 42 pelajar UPSI dalam perjalanan dari Jerteh ke Tanjong Malim selepas cuti Aidiladha dipercayai bertembung dengan MPV yang berada di laluan sama dari arah Jeli ke Gerik.
Akibat daripada perlanggaran itu, bas dipercayai terbabas dan terbalik, manakala MPV terjunam ke dalam parit.
15 mangsa disahkan maut, 13 di lokasi kejadian dan dua lagi di hospital.
Selain itu, 7 pelajar cedera parah, baki yang lain mengalami pelbagai kecederaan.
Empat penumpang MPV turut cedera, termasuk seorang patah tangan.
Bagi memberikan penghormatan terakhir kepada rakan-rakan yang terkorban, seramai 160 penuntut UPSI turut bertolak ke Terengganu hari ini.
Mereka dijangka menghadiri solat jenazah dan pengebumian, selain memberi sokongan moral kepada keluarga mangsa.