• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Perkampungan 'Darul Barakah' Harapan Ke Pangkal Jalan

KUALA TERENGGANU, 11 Jun - Pusat Pemulihan Dadah Holistik yang dijenamakan sebagai Perkampungan Darul Barakah berfungsi membantu golongan yang terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah untuk kembali ke pangkal jalan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan Negeri, Mohd Nor Hamzah, berkata projek yang bertempat di Kem Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) Cenderawasih di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Berangan itu akan bermula dengan 50 bekas penagih untuk fasa pertama dalam masa terdekat.

"Kita namakan ia Perkampungan Darul Barakah bagi mengelak persepsi negatif daripada masyarakat dan mereka yang tinggal di sini tidak merasa malu untuk mengikuti segala program yang disusun bagi mengubah hidup ke arah yang lebih baik.

"Suasana yang akan mereka lalui di sini adalah seperti pengajian pondok, bukannya seperti merasai berada di penjara sebaliknya menjadi tempat yang menceriakan serta akan hidup seperti orang lain yang kita khususkan kepada anak-anak sesiapa yang terlibat dengan masalah penggunaan dadah untuk menyertainya,"katanya.

Beliau berkata demikian, ketika bersiaran dalam program Bicara Khas EXCO 'Self Lockdown Bukan Jiwa Lockdown' di TV Darul Iman baru-baru ini.

Mengulas lebih lanjut, Mohd Nor berkata rawatan yang dijalankan adalah mengikut empat kaedah meliputi rohani dan jasmani.

"Iaitu melalui fasa pembersihan jiwa melalui zikir, bacaan al-Quran, munajat, Qiamulail, mengerjakan solat-solat sunat serta pelbagai kaedah wirid sebagaimana yang telah digariskan oleh Rasulullah SAW.

"Juga akan mempelajari ilmu fardu ain yang menjadi asas utama dalam kehidupan beragama. Manakala daripada sudut jasmani sama seperti tempat lain dikendalikan pihak kementerian kesihatan di samping akan turut menggunakan kaedah rawatan dalam Islam," katanya.

Ujarnya, masyarakat di negeri ini harus menyambut baik usaha dilakukan kerajaan ini dengan turut memberikan kerjasama.

"Jangan sembunyikan atau merasa hina sehingga mengambil keputusan tidak menghantar anak atau mana-mana yang mereka kenali untuk hantar ke sini.

"Sebaiknya kita mencontohi Thailand yang menjadikan sebuah pulau untuk memulihkan mereka yang terlibat dengan masalah ini, sehingga mendapat sambutan yang cukup baik.

"Saya merayu sungguh-sungguh untuk hantar mereka yang menghadapi perkara ini untuk dihantar ke sini semuanya akan ditanggung dengan harapan akan berjaya mengubah diri dan akan berada dalam situasi yang lebih baik," ujarnya.

Di samping itu katanya, penghuni tempat berkenaan selain didedahkan ilmu pangajian agama turut didedahkan dengan ilmu kemahiran dengan kerjasama beberapa agensi dan jabatan.

"Kita mahu mereka mempunyai usul kemahiran dalam bidang pertanian,penternakan dan juga pertukangan, pada peringkat awal ini kita akan tumpu pada pertanian dan penternakan dahulu dimana akan ada modul khas," ujarnya lagi.

 

 

 

 


Tag: