• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Perkampungan Hainan Terbesar 'Tersembunyi' Di Kemaman



Siapa sangka kawasan terpencil di Daerah Kemaman terdapat sebuah perkampungan Cina yang masih mengekalkan adat, budaya dan tradisinya.

Demikian kehebatan sebuah perkampungan Hainan di Kampung Baru Ayer Jernih, yang masih kekal kewujudannya sejak lebih 100 tahun lalu.

Umpama berada di sebuah pekan kecil di Negara China, kawasan perkampungan tersebut dilatari dengan pemandangan deretan bangunan lama dua tingkat yang amat klasik diperbuat daripada kayu selain menggunakan reka bentuk lama dengan kebanyakan rumah masih menggunakan pintu papan berlapis.


Sebaik melangkah ke situ, pintu gerbang yang dihias indah seakan mengalu-alukan kedatangan pengunjung selain penduduknya yang peramah dan mesra.

Keriuhan suara penghuninya jelas kedengaran tatkala sekumpulan warga emas yang asyik bermain mahjung di kedai kopi bersama-sama rakan mereka yang turut menambahkan lagi aura suasana desa.

Pekan Air Jernih merupakan perkampungan Hainan terbesar di Malaysia yang mempunyai kepadatan hampir 1,000 orang penduduk.


Hampir 75 peratus penduduk di kawasan tersebut melibatkan diri dalam kegiatan ekonomi dan pertanian seperti lada hitam dan getah.

Bagaimanapun, sejak beberapa tahun lalu, ramai generasi baru perkampungan tersebut berhijrah ke bandar menyebabkan jumlah penduduk semakin berkurangan dan hanya warga emas yang masih tinggal di situ.

Perkampungan tersebut turut mempunyai kemudahan asas yang lengkap seperti sekolah, klinik, dewan, tokong, balai polis dan tanah perkuburan.

Tag: