lightning-solid
Berita :
Perkasa Peranan Baitulmal Sebagai Pemangkin Pembangunan Ummah
Perkasa Peranan Baitulmal Sebagai Pemangkin Pembangunan Ummah
Noraini Jusoh
1 jam yang lepas
61

KUALA NERUS, 29 Julai – Institusi baitulmal perlu diperkasakan sebagai pemangkin pembangunan ummah menyeluruh selari dengan cabaran sosioekonomi semasa yang semakin kompleks.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Azmi Mohamad Daham berkata, institusi baitulmal tidak lagi boleh dilihat sebagai badan mengurus kutipan dan agihan semata-mata, sebaliknya perlu memainkan peranan lebih strategik dalam memacu pembangunan pendidikan, kesihatan, penyelidikan, inovasi, keusahawanan serta pembangunan modal insan.

Katanya, perkara itu bertepatan dengan tema Konvensyen Majlis Pembangunan Baitulmal Kebangsaan 2026, ‘Wawasan Baharu Kewangan Sosial Islam: Transformasi Baitulmal, Memperkasa Agenda Fardu Kifayah’, yang menggariskan keperluan mentransformasikan institusi kewangan sosial Islam agar lebih progresif.

"Peranan ini menuntut pendekatan yang lebih progresif, tadbir urus yang lebih cekap serta kerjasama strategik yang lebih luas supaya setiap sumber yang diamanahkan dapat dimanfaatkan secara optimum demi kepentingan umat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Perasmian Penutup Konvensyen Baitulmal Kebangsaan 2026 Di Dewan Al-Muktafi Billah Shah, Universiti Sultan Zainal Abidin di sini, hari ini.

Menurut beliau, usaha memperkukuh institusi baitulmal selaras dengan aspirasi Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera yang menekankan pembangunan ekonomi dan modal insan berasaskan ilmu serta inovasi; pengurusan zakat, wakaf dan baitulmal secara telus serta berintegriti selain memastikan manfaat kewangan sosial Islam dapat dinikmati seluruh lapisan masyarakat.

Katanya, roh sebenar kewangan sosial Islam bukan sekadar mengurus dana malah membangunkan insan, memperkukuh institusi, memperkasa masyarakat serta memacu pembangunan ummah secara mampan.

“Antara contoh terbaik yang boleh kita banggakan ialah pembangunan Hotel Grand Puteri, Kuala Terengganu, iaitu hotel wakaf pertama di Terengganu dan yang keempat di Malaysia.

“Hotel ini telah siap dibangunkan pada 8 April 2013 dan mula beroperasi pada 15 April 2013, hasil kerjasama strategik antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri Terengganu, JAWHAR serta MAIDAM dalam membangunkan aset wakaf secara profesional,” ujarnya.

Katanya, melalui model kerjasama tersebut, Yayasan Wakaf Malaysia bertindak sebagai pemajak aset wakaf manakala pengoperasiannya diuruskan oleh Perbadanan Wakaf Nasional Berhad, sekali gus menjadi contoh pembangunan wakaf yang berjaya memberi impak kepada ekonomi dan masyarakat.

“Diharapkan kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri, JAWHAR, MAIDAM, Yayasan Wakaf Malaysia dan semua agensi berkaitan terus diperkukuhkan bagi merealisasikan lebih banyak projek pembangunan wakaf yang inovatif serta berdaya saing,” ujarnya.


Tag :

Artikel Berkaitan