• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

Perkasa Wanita Menerusi Road To MAHA 2018


Langkah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani  menyasarkan penglibatan golongan wanita menerusi program Road To MAHA (Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia) 2018 adalah bukti komitmen kerajaan dalam memperkasakan golongan tersebut.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Dato’ Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, fokus tersebut selaras dengan pengumuman Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak sebelum ini yang mengisytiharkan 2018 sebagai tahun memperkasa wanita.

“Antara langkah yang dilaksanakan ialah menjadikan slogan 'Segalanya Wanita' sebagai tema MAHA 2018 yang bakal diadakan pada November depan.


"Agensi pembiayaan seperti Agrobank dan Tekun Nasional (Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga) juga diarahkan untuk memperuntukkan sebahagian daripada dana tahunan kepada usahawan wanita.

"Contohnya, Tekun Nasional disasarkan untuk mengagihkan sekurang-kurangnya RM250 juta daripada RM800 juta dana pembiayaan agensi itu khusus kepada golongan tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis perasmian Karnival Usahawanita yang disempurnakan  Penasihat Pembangunan Keusahawanan dan Ikhtisas Wanita Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil di Pantai Kuala Kerteh, Kemaman petang tadi.


Menurut Shabery, kedua-dua agensi pembiayaan tersebut telah diberi arahan untuk membuka kaunter khas bagi melayani permohonan daripada usahawan tani dan industri asas tani wanita.

Dalam perkembangan berkaitan, lagu tema MAHA 2018 berjudul Segalanya Wanita nyanyian kumpulan rock, Def-Gab-C diperdengarkan buat pertama kali pada Karnival Usahawanita tersebut.

Lagu bergenre rock terbabit merupakan ciptaan Def-Gab-C manakala liriknya nukilan bersama kumpulan tersebut bersama Ahmad Shabery.

Sementara itu, vokalis Def-Gab-C, Asheed berkata, kepercayaan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dalam penghasilan lagu tema MAHA 2018 tersebut merupakan penghormatan besar kepada mereka yang telah lima menyepi daripada arena hiburan tempatan.

"Def-Gab-C yang sudah tidak aktif sejak tahun 2012 teruja dan membuat keputusan untuk aktif semula selepas menerima tawaran daripada kementerian tersebut.

"Lagu 'Segalanya Wanita' ini juga manifestasi kami untuk menghargai sumbangan wanita dalam pembangunan keluarga dan wanita," katanya.

Def-Gab-C yang turut dianggotai Jembo (pemain gitar), Atong (pemain drum) dan Epyn (pemain bas) popular dengan lagu Cinta Sakti, Maria dan Ibu Kota Cinta pada lewat 1990-an dan awal 2000-an.


Tag: