• 04 Mei 2024 | 25 Syawal 1445

Perkasakan Produk Pelancongan Alam Semula Jadi- Sultan Mizan

KUALA TERENGGANU, 22 April -Sultan Mizan Zainal Abidin menitahkan kerajaan negeri memberi penekanan terhadap pemerkasaan produk pelancongan alam semula jadi di Terengganu.

Titah baginda, langkah tersebut perlu dilaksanakan bagi mencapai kehadiran seramai 4.5 juta pelancong ke Terengganu pada tahun 2024.

Baginda bertitah, keunikan baharu yang sedia ada seperti Lata Belatan di daerah Besut, Lata Ulu Kasar di daerah Setiu, Cemerong Berembun Langsir (CBL) di daerah Dungun, Bukit Mentok di daerah Kemaman, Kalang Rengas di daerah Hulu Terengganu, Dataran Batu Putih dan Pantai Angin Berbisik di daerah Marang dan Bukit Maras di daerah Kuala Nerus haruslah dipulihara untuk generasi akan datang.

"Penganjuran Sultan Mizan Underwater Photography Awards ( SMUPA) pada tahun lalu merupakan inisiatif yang berjaya dilaksanakan dalam usaha mempromosikan keindahan alam semulajadi maritim di negeri ini.

"Dengan penganjuran SMUPA 2024 dengan tambahan kategori yang baharu iaitu ' short video category' dilihat sebagai salah satu yang berkesan untuk meningkatkan bilangan peserta dan peminat selam skuba dari dalam dan luar negara,” titah baginda pada Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu Ke-15 di Wisma Darul Iman di sini, hari ini.

Titah baginda lagi, selain itu, pengiktirafan oleh Malaysia Book of Records bagi kategori Most Students in Malay Gamelan Dance dalam program Seabad Gema Gemalai Gamelan Melayu baru-baru ini amat membanggakan. 

"Seramai 152 orang Penari Cilik Tunas SUKTRA dari 13 buah sekolah telah melakarkan sejarah baru kepada peminat kesenian Gamelan untuk berkunjung ke negeri Beta. 

"Usaha ini wajar diteruskan bagi mengembangkan kesenian Terengganu agar tak lekang dek panas, tak lapuk dek hujan selain penekanan dalam menerapkan elemen budaya sebagai komponen penting pelancongan Terengganu," titah Baginda.

Sultan Mizan turut menzahirkan penghargaan kepada terlibat dalam perlindungan, semua agensi yang terlibat pemuliharaan biodiversiti dan ekosistem di negeri Terengganu. 

Titah Baginda, kerajaan negeri telah diletakkan sebagai penanda aras pengurusan alam sekitar yang mampan oleh pihak Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) bagi tahun 2023 yang lalu.

"Penghargaan ini adalah hasil kerjasama semua pihak termasuklah badan bukan kerajaan (NGO) dalam memastikan aset alam semulajadi di negeri ini kekal terpelihara. 

"Hasilnya, sehingga 31 Disember 2023 yang lalu, Negeri Terengganu berjaya mengekalkan peratusan kawasan berhutan yang cukup membanggakan iaitu seluas 676,823 hektar yang merangkumi 52 peratus bagi keseluruhan kawasan di negeri Terengganu," titah Sultan Mizan.