• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Dua Projek Di Pulau Bahagia Bakal Selesai Masalah Air

Oleh : Anis Zakaria

HULU TERENGGANU, 5 September - Dua projek sedang diusahakan di Loji Air Pulau Bahagia, Manir bagi mengatasi masalah air dengan sebaiknya serta dapat menambah baik sistem yang sedia ada.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr Mamad Puteh berkata, projek pertama ialah loji baharu Pulau Bahagia dengan kapasiti 20 juta liter air sehari (MLD) untuk keperluan penduduk di kawasan Manir.

"Satu tangki yang besar menggunakan paip 450 di sebelah sana untuk memberi kemudahan kepada kawasan-kawasan berdekatan.

"Satu lagi projek Pulau Bahagia ialah muka sauk (water intake point) sebanyak 120 MLD, air mentah yang belum dirawat dihantar melalui paip ke loji rawatan air Bukit Berapit sebelum air terawat disalurkan kepada pengguna melalui Tangki Air Bukit Berangan dan Tangki Air Bukit Sagu," jelasnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa lawatan ke Loji Air Pulau Bahagia, semalam.

Tambahnya, setelah kedua-dua loji itu siap, ia akan dapat membantu menyelesaikan permintaan bekalan air di kawasan Manir 20 MLD dan 120 MLD ke Bukit Berangan iaitu di sebelah Kuala Terengganu Utara (KTU).

"Kita usaha selesaikan Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Berapit dalam waktu terdekat ini, bagi menghasilkan 60 MLD dahulu dengan sampainya alat pemasangan Variable Frequency Drive (VFD) Jumaat lepas.

"Unit VFD masih di fasa pengujian dalam memastikan kesemua peralatan berada dalam keadaan bersedia untuk beroperasi mengikut jadual. Jadi, alat ini akan mengaktifkan pam bagi menghasilkan 60 MLD air untuk kegunaan masa sekarang," katanya.


Tag: