• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Perlu Lebih Tegas Kekang Pencerobohan Perairan Negara - Zahid

Zahid melancarkan GNN 2017, di Kuala Kertih, Kemaman, hari ini. Foto oleh Tengku Syamim Tengku Ismail.

Agensi penguatkuasaan diarah lebih serius bagi mengekang masalah pencerobohan nelayan asing di perairan negara yang mengakibatkan kerugian hasil laut sehingga RM6 bilion setahun, kata Timbalan Perdana Menteri Dato' Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Menurutnya, arahan itu membabitkan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Pasukan Polis Marin (PPM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).
"Beberapa langkah sudah diambil oleh agensi penguatkuasaan seperti  Tentera Laut Diraja Malaysia, Maritim Malaysia (Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia) dan Jabatan Perikanan menerusi program 'Eye In The Sky' sama ada di Selat Melaka, Laut Sulu dan Laut China Selatan bagi mengelak insiden pencerobohan.

" Oleh kerana kita tahu bahawa hasil laut ini adalah sumber protein utama untuk rakyat negara kita dan kita cuba mengelakkan pengimportan dilakukan daripada negara lain sedangkan hasilnya daripada Malaysia..dan ini tidak adil kepada rakyat Malaysia terutama kepada para nelayan. Sebab itu saya memberikan penekanan supaya agensi-agensi penguatkuasaan ini mengambil tindakan penguatkuasaan lebih tegas,"katanya.

Zahid berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Gelombang Nelayan Nasional (GNN) 2017 di Pantai Kuala Kertih, Kemaman, hari ini.


Turut hadir, Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Razif Abd Rahman, Menteri Pertanian dan Asas Tani, Dato' Mohd Shabery Cheek dan Timbalan Menteri Komunikasi Dan Multimedia Malaysia, Dato' Jailani Johari.

Hadir sama, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Mohd Zubir Embong, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Wan Nawawi Wan Ismail dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Dato' Seri Ahmad Said.



Zahid juga meminta supaya nelayan tempatan memasang Sistem Pemantauan Automatik (AIS) pada bot ketika menangkap hasil laut terutama di kawasan berhampiran sempadan perairan negara bagi mengelak berlaku kejadian tidak diingini.

"Kita juga menyeru nelayan supaya memasang AIS sama ada  yang diperolehi secara percuma (bantuan kerajaan) ataupun dibeli sendiri.

"Ia perlu dipasang bukan sahaja bagi memantau kegiataan yang dilakukan kumpulan nelayan untuk tujuan penguatkuasaan, malah untuk keselamatan nelayan ketika di zon-zon tertentu lautan termasuk nelayan yang didakwa memasuki sempadan negara asing sebagai bukti siasatan sama ada berlaku pencerobohan atau tidak,"katanya.






Tag: