KUALA TERENGGANU, 11 November - Kerajaan Terengganu disaran agar menjana kerjasama strategik dengan Kementerian Pendidikan dalam memperluas program pendidikan berasaskan Maqasid Syariah iaitu menjaga agama, akal, nyawa, maruah dan harta.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Mohd Fadhli Rahmi berkata perkara itu ada dalam program yang khususnya melibatkan aktiviti kokurikulum, motivasi dan pembangunan sahsiah pelajar.
"Sebagai negeri yang menjadikan Islam dasar pentadbiran, saya berpandangan Terengganu wajar tampil dengan pendekatan sokongan dan cadangan yang berpaksikan penyelesaian Islam,
"Kebimbangan besar rakyat hari ini ialah krisis dalam sistem pendidikan negara, kes buli pelajar yang semakin melampau, cubaan menculik, gangguan seksual, ketagihan gajet, serta tekanan mental dalam kalangan pelajar," jelasnya.
Mohd Fadhli berkata demikian ketika berucap membahaskan Belanjawan Negeri Terengganu Tahun 2026 di Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu di sini hari ini.
Katanya, masalah ini bukan semata-mata isu disiplin sekolah, tetapi cerminan kepada krisis nilai dan akhlak yang sedang melanda generasi muda kita.
"Ia menuntut perhatian serius semua pihak, bukan sahaja Kementerian Pendidikan, tetapi juga kerajaan negeri, masyarakat, dan institusi agama.
Menurutnya, kerajaan juga perlu melibatkan agensi-agensi seperti JHEAT, YPK, MAIDAM, dan Yayasan Terengganu sebagai pelengkap kepada dasar pendidikan nasional.
"Dengan menjadikan sekolah dan institusi tahfiz di bawah seliaan negeri sebagai model “sekolah tarbiah Islam”, yang bukan sahaja menekankan akademik, tetapi juga akhlak, adab dan kepimpinan.
"Latihan turut diberikan dan pengiktirafan khas kepada guru agama dan asatizah sekolah negeri, supaya mereka berperanan sebagai murabbi komuniti yang membimbing masyarakat setempat, bukan hanya dalam bilik darjah," katanya.
Disamping itu, kerjasama antara masjid, PIBG dan JPKK perlu diaktifkan bagi membentuk Zon Selamat Pelajar, kawasan komuniti yang menjaga keselamatan dan moral anak-anak di luar waktu sekolah.
"Langkah-langkah ini tidak bercanggah dengan bidang kuasa persekutuan, malah melengkapkan usaha kementerian dengan roh Islam dan keprihatinan setempat.
"Saya yakin, dengan sokongan padu semua pihak, Terengganu boleh menjadi negeri contoh dalam membangunkan sistem pendidikan berjiwa Islam dan berpaksikan kesejahteraan ummah," ujarnya.