KUALA TERENGGANU, 10 Mac - Bulan Ramadan bukan sekadar bulan ibadah, bahkan dapat dimanfaatkan sebagai medan memperkukuh hubungan dalam masyarakat.
Itulah peluang yang digunakan kira-kira 20 ahli Persatuan Mahasiswa Anak Terengganu (PERMATA) dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) apabila bergotong-royong menyiapkan dan mengagihkan bubur lambuk di Kampung Alor Limbat, semalam.
Bapa angkat PERMATA UMS yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Limbat, Dato' Ariffin Deraman berkata, program yang dilaksanakan dengan kerjasama ahli jawatankuasa Masjid Alor Limbat itu sedikit sebanyak membantu mahasiswa untuk 'masuk' dan bergaul dalam masyarakat.

"Mereka ini anak-anak Terengganu yang berkebolehan, tetapi kerana jauh merantau ketika belajar maka perlunya program-program sebegini untuk mereka dan menyediakan 'tempat' dalam masyarakat di sini supaya akhirnya dengan segala kebolehan dan ilmu yang dipelajari, mereka dapat menyumbang kembali kepada masyarakat," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui sewaktu agihan sekitar 300 bekas bubur lambuk kepada penduduk setempat, semalam.

Tag :