• 16 Apr 2024 | 7 Syawal 1445

Permohonan Maaf Atau Tindakan Undang-Undang - Naib Presiden PBSNT



Ab Rasid menunjukkan laporan polis yang telah dilakukan pada Khamis lalu. Foto oleh Tengku Syamim Tengku Ismail.


Tindakan undang-undang bakal diambil kepada pemilik akaun page Facebook (FB) Terengganu, T&T dan Selamatkan Bolasepak Terengganu berikutan fitnah terhadap Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PSBNT), yang mencetuskan viral di kalangan peminat bola sepak negeri ini, baru-baru ini.

Naib Presidennya, Ab Rasid Jusoh berkata, terdapat beberapa tuduhan yang tidak berasas dilemparkan kepada persatuan dan dirinya selaku Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Bola Sepak Belia serta Pengerusi Jawatankuasa Pengecaman dan Penilaian Pemain, sehingga menjejaskan imej beliau selaku penjawat awam.

Beliau berkata, tempoh lima hari diberikan kepada pemilik akaun-akaun tersebut untuk membuat permohonan maaf secara terbuka serta menarik balik tuduhan yang dilakukan ataupun berdepan tindakan undang-undang serta saman.

“Jika dalam tempoh itu mereka masih tidak menarik balik fitnah yang dilemparkan dan tiada permohonan maaf yang dilakukan tindakan undang-undang akan dikenakan kepada mereka.

“Saya juga bersedia untuk bersemuka dengan pengendali-pengendali akaun tersebut jika mereka mempunyai masalah untuk diutarakan,” katanya kepada pemberita.


Beliau ditemui pemberita dalam majlis ramah mesra bersama media di Pejabat T-Team, Kuala Terengganu, hari ini.

Ab Rasid berkata, status yang mula dimuatnaik pada 26 Oktober lalu di laman sosial tersebut menyentuh beberapa isu antaranya mengaitkannya dengan kejatuhan bola sepak Terengganu serta melobi dirinya untuk bertanding sebagai timbalan presiden serta setiausaha PBSNT.

Selain itu dirinya juga turut dikaitkan dengan kejatuhan moral pemain Terengganu serta mengeluarkan senarai pemain pasukan negeri untuk musim depan selain beberapa serangan peribadi.

Berikutan fitnah tersebut, satu laporan polis dibuat pada Khamis lalu sebagai tindakan susulan dan memudahkan siasatan dilakukan pihak berkuasa.

Tag: