lightning-solid
Berita :
Perpaduan Rakyat, Pembangunan Adil Teras Hala Tuju Terengganu
Perpaduan Rakyat, Pembangunan Adil Teras Hala Tuju Terengganu
Rohayati Ripin
17 jam yang lepas
72

KUALA TERENGGANU, 31 Disember — Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menegaskan bahawa perpaduan rakyat dan pembangunan yang adil menjadi teras utama hala tuju negeri.

Katanya, kepelbagaian kaum, budaya dan latar belakang masyarakat di Terengganu dan Malaysia merupakan kekuatan yang perlu dipelihara melalui sikap saling menghormati dan muhibah.

 “Malaysia dan Terengganu dibina atas kepelbagaian. Kita berbeza kaum, budaya dan latar belakang, namun di situlah terletaknya kekuatan kita. 

 “Apabila kita saling menghormati, memahami dan hidup dengan penuh muhibah, perpaduan akan terus terpelihara dan keamanan dapat dinikmati bersama,” jelasnya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, cabaran dunia hari ini menuntut masyarakat yang bukan sahaja maju dari sudut ekonomi, malah sejahtera dari aspek akhlak, sosial dan keadilan.

 “Namun, dengan ilmu, nilai murni, sikap prihatin dan semangat kebersamaan, kita mampu membina sebuah masyarakat yang bukan sahaja maju dari segi ekonomi, tetapi juga sejahtera dari segi akhlak, sosial dan keadilan,” ujarnya.

 Ahmad Samsuri turut menegaskan komitmen kerajaan negeri untuk melaksanakan setiap perancangan pembangunan secara adil dan inklusif agar manfaatnya dapat dinikmati oleh seluruh rakyat tanpa mengira latar belakang.

 “Pembangunan yang seimbang adalah asas kepada perpaduan yang berkekalan,” katanya.

 Justeru itu, beliau berharap Tahun Baharu 2026 menjadi ruang untuk rakyat saling memahami, bekerjasama dengan lebih erat dan melangkah ke hadapan sebagai satu keluarga besar demi kesejahteraan bersama.

“Selamat Menyambut Tahun Baharu 2026. Semoga setiap langkah kita dipermudahkan, setiap usaha diberkati dan setiap kejayaan dapat dinikmati bersama demi Terengganu dan Malaysia yang lebih baik,” tambahnya lagi.


Tag :

Artikel Berkaitan