Persekutuan Digesa Tubuh Suruhanjaya Khas Kaji Sistem Federalisme
KUALA TERENGGANU, 18 April - Menteri Besar, Dato' Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar mencadangkan penubuhan Suruhanjaya Khas untuk mengkaji semula sistem federalisme negara agar lebih realistik dan sesuai dengan perkembangan semasa.
Beliau berkata, penambahbaikan ini penting bagi memastikan negeri dan negara dapat bergerak seiring dalam kitaran global yang semakin pantas dan mencabar.
“Saya mencadangkan penubuhan Suruhanjaya Khas, bagi memberi input, serta cadangan reformasi sistem federalisme negara yang lebih realistik dan praktikal, sesuai dengan kepantasan sesebuah negeri dan negara untuk bergerak seiring,” katanya ketika sesi penggulungan di Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-15 di Wisma Darul Iman, di sini, semalam.
Dr. Samsuri menegaskan bahawa sistem federalisme Malaysia yang sedia ada, berdasarkan Perlembagaan Persekutuan 1957, terlalu memusatkan kuasa kepada Kerajaan Persekutuan, termasuk dari sudut sumber kewangan dan bidang kuasa.
"Kerangka sistem federalisme adalah lebih cenderung kepada 'centralized federalisme', yang telah meletakkan kuasa kerajaan Persekutuan yang lebih luas dan besar, menjadikan kerajaan negeri amat bergantung,” ujarnya.
Beliau turut memetik pakar perlembagaan, Dr. Muhammad Fathi Yusof, yang menyifatkan pergantungan kerajaan negeri berpunca daripada keterbatasan sumber hasil cukai dan bukan cukai yang dibenarkan kepada negeri.
Dalam pada itu, turut dinyatakan bahawa perubahan ini bukan bertujuan menolak Perlembagaan, sebaliknya untuk mengukuhkan kerangka federalisme sedia ada agar lebih adil, dinamik dan praktikal.
"Teguran dan pandangan yang saya lontarkan ini, adalah untuk memperkukuhkan sistem federalisme yang termaktub dalam perlembagaan.
"Supaya negeri dan negara dapat bergerak seiring untuk mencapai kesejahteraan kehidupan, dan keharmonian yang lebih berpanjangan," katanya.