• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Persidangan DUN Terengganu Bermula 15 November

KUALA TERENGGANU, 11 November - Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu dijadualkan bermula 15 November ini dengan pembentangan Bajet Terengganu 2022, kata Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Dato’ Yahaya Ali.

Jelas beliau, Mesyuarat Kedua Penggal Keempat DUN Ke-14 (bajet) itu masih lagi tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) namun terdapat sedikit kelonggaran berbanding persidangan sebelum ini.

“Persidangan bermula pukul 9.30 pagi hingga 5.00 petang sepanjang tempoh empat hari persidangan.

“Susulan daripada peralihan fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) di Terengganu sejak 25 Oktober lalu, pihak DUN turut memutuskan bahawa kehadiran bagi persidangan kali ini ditambah dengan kehadiran 50 ketua-ketua jabatan,” jelasnya pada sidang media di Manis FM hari ini.

Dalam perkembangan sama, Yahaya memaklumkan isu-isu berkaitan pelan pemulihan ekonomi Terengganu dan kebajikan rakyat dijangka akan menjadi tumpuan persidangan.

“Oleh kerana ini persidangan bajet, saya menjangkakan kerajaan negeri akan memberi keutamaan kepada perbincangan 3R iaitu mempercepat pemulihan (recovery), memperkukuh ketahanan ekonomi (resilience) dan menjadi pemangkin pembaharuan (reform) sebagai yang berlaku di peringkat pusat.

“Kemudian, sudah tentu akan ada pengumuman penting dalam soal kebajikan rakyat, sebab pada pandangan saya rakyat menghadapi kesukaran untuk segera berdikari selepas terjejas teruk akibat pandemik dan ini sudah tentu menjadi tumpuan kerajaan,” katanya.

Tambah beliau, selain pembentangan bajet, pindaan enakmen berkaitan pengharaman jualan telur penyu turut akan dibincangkan.

“Ini bagi menjayakan hasrat kerajaan untuk melaksanakan penguatkuasaan pengharaman jualan telur penyu dan tuntung pada tahun 2022,” ujarnya.


Tag: