• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Persidangan Speaker Parlimen, DUN Malaysia Wujud Resolusi - Yahaya

KUALA TERENGGANU, 13 September - Persidangan Speaker-Speaker Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) seluruh Malaysia bersepakat mencapai resolusi memberdaya institusi badan legislatif DUN sebagai institusi semak dan imbang secara lebih efektif.

Yang Dipertua DUN Terengganu, Dato' Yahaya Ali berkata, resolusi yang dipersetujui tersebut bertujuan untuk mengukuhkan sistem demokrasi berparlimen di negara.

"Pada 9 Ogos baru-baru ini, suatu persidangan Speaker-Speaker Parlimen dan DUN seluruh Malaysia telah diadakan secara atas talian di mana DUN Pahang menjadi tuan rumah.

"Antara resolusi yang dicapai adalah berkenaan usaha-usaha memberdaya institusi badan legislatif DUN sebagai institusi semak dan imbang secara lebih efektif bagi mengukuhkan sistem demokrasi berparlimen di negara kita," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Keempat Belas, hari ini.

Menurutnya, sudah tentu perkara penting seumpama itu perlu diperhalusi dan mendapat pandangan dari pelbagai pihak dengan semangat musyawarah (perbincangan).

Menurut Yahaya, turut dibincangkan kertas kerja dari Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun, mengenai pengurusan persidangan ketika pandemik Covid-19.

Juga kertas kerja mengenai konsep dan amalan demokrasi dalam konteks perlembagaan persekutuan oleh Penyandang Kursi Institut Raja-Raja Melayu Universiti Teknologi Mara (UiTM), Profesor Datuk Dr Shamrahayu Ab Aziz.


Tag: