• 04 Mei 2024 | 25 Syawal 1445

Pertahan Kemerdekaan Dengan Islam

Dr Ahmad Samsuri Mokhtar bersemangat melaungkan 'Merdeka' bersama rakyat.
KUALA TERENGGANU - Kemerdekaan yang dikecapi oleh generasi kini mestilah dipertahankan dan diisi dengan cara hidup Islam berpandukan Al-Quran dan As-Sunnah di samping saban tahun mengenang pengorbanan pejuang terdahulu.

Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mohktar berkata, merdeka yang dilaung-laungkan oleh semua tidak kira pemimpin mahupun rakyat mempunyai identiti sendiri dan sudah pasti Malaysia mengikut identiti Islam yang menjadi agama persekutuan.

"Inilah fasa untuk mengisi kemerdekaan dengan agenda Islam yang adil untuk semua.

"Malaysia hari ini dikenali sebagai negara umat Islam yang menjadi contoh kepada dunia.

"Justeru, wajar warganegara merdeka memperbaiki sahsiah dengan akhlak dan moral yang baik, serta menjauhi gaya hidup yang tidak sihat," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perarakan dan Perbarisan Sambutan Hari Kebangsaan 2018 peringkat Negeri Terengganu yang diadakan di Dataran Batu Buruk, Kuala Terengganu, hari ini (31 Ogos).

Beliau turut mendoakan pahlawan kemerdekaan yang amat berjasa semoga mendapat ganjaran besar dari Allah.


Suasana majlis meriah apabila pelbagai peringkat lapisan masyarakat berkunjung bagi menyaksikan acara perbarisan penuh semangat patriotisme yang disertai oleh kakitangan kerajaan, agensi dan pelajar sekolah.


Majlis disempurnakan oleh Duli Yang Teramat Mulia Yang Di-Pertuan Muda Negeri Terengganu, Tengku Muhammad Ismail ibni Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin, yang berkenan menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan perbarisan.

Tag: