• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Pertahan Piala Agong Misi Utama Ragbi Terengganu 2022

KUALA TERENGGANU, 17 April - Persatuan Ragbi Negeri Terengganu (PRNT) giat memperkemaskan jentera pasukan bagi mempertahankan kejuaraan Piala Agong yang akan membuka tirai pada Oktober nanti.

Yang Dipertua PRNT, Amir Amri Mohammad memberikan gambaran bahawa tekanan cabaran pada musim ini sudah pasti terarah kepada Terengganu selaku pasukan pilihan setelah melakar sejarah untuk pertama kali merangkul Piala Agong setelah menewaskan Sabah selaku pasukan pilihan musim lalu dan juga penyandang juara ketika itu.

“Mempertahankan kejuaraan adalah lebih sukar berbanding usaha untuk memburu kejuaraan. Malah, ini merupakan kejuaraan sulung yang pertama kali dilakar oleh Terengganu sejak sejarah Piala Agong dipertandingkan.

"Tahun ini juga, kita berdepan cabaran mempertahankan kejuaraan 7 sepasukan kebangsaan.

"Oleh itu, kami telah melakukan kerja-kerja awal dalam memperkemaskan pasukan dan mengenal pasti beberapa pemain baru. Manakala, sebahagian besar pemain- pemain yang telah mencipta sejarah bersama kami pada Piala Agong lalu masih dalam senarai panjang pasukan," katanya.

Tambahnya, setelah dua tahun penganjuran Piala Agong tertangguh berikutan situasi pandemik COVID-19, Terengganu yang hadir selaku pasukan pilihan telah diundi untuk berada dalam kumpulan maut bersama Johor, Kedah dan Melaka.

"Ketiadaan Sabah sebagai antara kuasa besar ragbi tanah air yang menarik diri bagi saingan musim ini tidak menjadi kelebihan buat kita memandangkan momentum pasukan dari negeri-negeri lain yang kian meningkat setelah lama berehat," katanya.

Selain itu, jawatan ketua jurulatih masih belum diputuskan oleh PRNT setelah ketiadaan Allahyarham Izaimi Zainuddin yang telah meninggal dunia pada Disember lalu.

PRNT dijangka akan memuktamadkan senarai akhir barisan pemain dan kejurulatihan bagi skuad Piala Agong musim ini setelah kempen skuad kebangsaan di pentas Kejohanan Ragbi Asia melabuhkan tirai.

Untuk rekod, tahun 2019 muncul sebagai tahun bermakna buat sejarah ragbi negeri Terengganu apabila dinobatkan selaku juara berganda setelah pertama kali melakar sejarah menjuarai Kejohanan Piala Agong dan Kejohanan 7 Sepasukan Kebangsaan.

Pada Kejohanan Ragbi Piala Agong edisi lalu, Terengganu hadir selaku pasukan bukan pilihan membuat kejutan di saat-saat akhir perlawanan untuk menamatkan penguasaan Sabah selaku penyandang juara dengan keputusan 25- 24.

Manakala, pasukan 7 sepasukan muncul juara kategori kelompok utama atau ‘Men Core’ Kejohanan Siri Ragbi 7 sepasukan Kebangsaan 2019 selepas mengalahkan Kelantan berkeputusan 24-5 dalam perlawanan akhir.


Tag: