• 30 Apr 2024 | 21 Syawal 1445

Pertahan Semangat Federalisme, Terengganu Taja LTdL

KUALA TERENGGANU, 13 September - Kerajaan Negeri Terengganu secara rasmi diumumkan oleh Majlis Sukan Negara (MSN) sebagai penaja utama Le Tour de Langkawi 2023 (LTdL) yang akan berlangsung pada 23 hingga 30 Spetember ini.

Dalam kejohanan bertaraf antarabangsa itu, kerajaan negeri melalui Tourism Terengganu memberi tajaan sebanyak RM800,000 meliputi tajaan wang tunai dan bantuan logistik.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Hishamuddin Abdul Karim ketika ditanya tentang kesudian menaja kejohanan tersebut meskipun berlainan fahaman politik dengan kerajaan pusat, menyifatkan amalan politik matang dan sejahtera dalam pentadbiran PAS sebagai kerajaan negeri mengangkat semangat federalisme dalam hubungan antara kedua-dua pihak. 

"Kerajaan negeri bersikap terbuka dalam hubungan antara kerajaan Pusat dan Negeri. Kita mempertahan semangat federalisme. Hubungan baik antara kedua peringkat ini akan terus dipelihara.

"Apatah lagi dalam agenda sukan kerana sukan untuk semua. Melahirkan atlet datangnya dari lubuk negeri dan dibangunkan pula secara lebih komprehensif di peringkat nasional. Jika atlet kami diangkat, mereka tetap digelar Atlet Malaysia. Ini semangat kesukanan yang telah lama dibina. Tiada agenda politik.

Foto: Le Tour de Langkawi.

"Tempohari juga, kami menerima tajaan Kementerian Belia & Sukan untuk penganjuran Tour Gateh De Tranung(TGDT23). Ia tanggungjawab bersama," katanya.

Tambahnya, kerajaan Terengganu sebenarnya telah bersetuju untuk menaja LTdL 2023 sejak 31 Mei, iaitu semasa rombongan penganjur ke Wisma Darul Iman bagi membentangkan pakej penajaan.

Keputusan tersebut diambil berdasarkan pakej pulangan penjaan yang cukup lengkap, khasnya peluang untuk mempromosikan negeri Terengganu ke seluruh dunia.

Sehubungan itu, kerajaan negeri dengan penjenamaan Beautiful Terengganu telah diberi penghormatan menaja kategori Pelumba Terbaik Asia (Jersi Putih) dan wakil kerajaan Terengganu akan menyarungkan jersi putih pada setiap peringkat perlumbaan.

Selaras hasrat Terengganu untuk menjadi Land of Cyclist, Terengganu turut diberi penghormatan menjadi lokasi Peringkat 1 LTdL 2023 yang melibatkan laluan sepanjang 184.4 kilometer (km) dari Kerteh ke Kuala Terengganu.

Peringkat 2 sejauh 186.2km juga akan bermula dari Kuala Terengganu ke Kota Bharu, Kelantan.

 


Tag: