• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Pertandingan Hias Pulut Kuning, Acara Istimewa Jelajah Belia Dungun

Wan Sukairi melihat gubahan pulut kuning.

Oleh : Adli Mohamad

DUNGUN, 25 Mac - Pulut Kuning warisan tradisi Melayu dimartabatkan apabila dipertandingkan sempena Program Jelajah Belia Terengganu Sejahtera peringkat Daerah Dungun, kelmarin.

Pengerusi Persatuan Isteri-Isteri Wakil Rakyat dan Mantan Wakil Rakyat (Khairunnisa’) Daerah Dungun, Siti Zaleha Mohd berkata, elemen tradisi istimewa yang ada pada makanan tradisi Melayu itu sangat bernilai dan perlu diberi perhatian.

Jelasnya, pulut kuning sangat sinonim dengan masyarakat Melayu apabila makanan tradisi itu menjadi hantaran perkahwinan dan juga pertunangan.

"Jadi Alhamdulillah, penyertaan amat mengalakkan apabila pertandingan pulut kuning menerima penyertaan seramai 25 orang, yang mana kita mahu menonjolkan elemen tradisinya.

"Juga bertujuan untuk mengeratkan silaturahim di antara wanita-wanita di daerah ini dimana penyertaannya terbuka kepada semua,"katanya.


Beliau berkata demikian ditemui pihak media, pada Majlis Perasmian Penutup Jelajah Belia Terengganu Sejahtera peringkat daerah Dungun, di Dewan Arena Merdeka.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah serta Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman.

Menurut Siti Zaleha, program anjuran bersama dengan Usahawan Wanita (Usahanita) Daerah Dungun.itu juga dapat mengumpul dan menonjolkan bakat-bakat yang ada pada wanita di daerah itu.

"Apa yang saya sasarkan adalah supaya kita boleh menghimpunkan wanita-wanita di kalangan peserta dan mengenali mereka.

"Pada masa yang sama, kita juga merancang untuk melahirkan ramai usahawan wanita biar ada pendedahan untuk mereka bergiat dalam bidang keusahawanan," ujarnya.

Pertandingan itu menawarkan hadiah yang cukup lumayan apabila pemenang tempat pertama menerima wang tunai sebanyak RM300, kedua RM200 dan tempat ketiga RM100.


Katanya, turut diadakan pertandingan menghias kek dengan hadiah tempat pertama hingga ketiga, berbanding pertandingan pulut kuning yang menyediakan enam hadiah saguhati lagi.



Tag: