• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Pertemuan Keluarga, Kenduri Senyap-Senyap Punca COVID-19 Meningkat

MARANG, 15 Julai - Sikap segelintir individu yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) dengan mengadakan pertemuan keluarga dan kenduri secara senyap-senyap menjadi salah satu punca peningkatan kes Covid-19 di Terengganu.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT), Dr Nor Azimi Yunus berkata, beliau semakin bimbang pelanggaran SOP itu akan meningkat  menjelang sambutan Hari Raya Aidiladha pada minggu hadapan.

Sehubungan itu, katanya, beliau memohon orang ramai mematuhi SOP ketika melakukan ibadah korban nanti bagi mengelak tercetusnya kluster baharu.

“Minggu depan Hari Raya Haji, risau juga kerana kita tahu akan ada melakukan rentas negeri dan daerah (dengan kelulusan) dan mungkin ada yang membawa virus bersama, lebih-lebih lagi mereka yang datang dari negeri situasi covidnya sangat mencabar.

“Memang kita sudah sediakan SOP lakukan korban tapi kita bimbang pertemuan keluarga dan ada yang buat makan-makan secara senyap-senyap boleh sebabkan kluster baharu timbul selepas raya seperti Hari Raya Aidilfitri baru baru ini.

“Jadi harapan kami, boleh adakan korban tapi masih dalam ruang lingkup SOP yang telah ditetapkan. Kita kena jaga Terengganu apatah lagi kita sudah berjaya kawal situasi Covid-19 dengan baik sebelum ini, itu semua tugas kita bersama,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas hadir ke Jelajah Suntikan Vaksin Covid-19 di Pulau Siri Pertama di Pulau Kapas, di sini pada Khamis.

Hadir sama Pegawai Daerah Marang, Lizan Che Mat.

Mengulas tentang peningkatan kes jangkitan COVID-19 di Terengganu daripada dua digit kepada tiga digit, Dr Nor Azimi berkata, ia dijangka akan terus meningkat dalam tempoh terdekat.

"Bilangan kes akan meningkat dalam tempoh beberapa hari akan datang kerana saringan besar-besaran dilakukan berikutan empat kluster baharu yang melibatkan daerah Marang, Dungun, Setiu, Hulu Terengganu dan Besut.

“Punca utama berlakunya kluster besar serentak kerana adanya aktiviti berhimpun anak beranak. Memang tiada kenduri kerana ia tidak dibenarkan tapi pertemuan rumah ke rumah ahli keluarga masih berlaku dan menyebabkan ia merebak dengan pantas," jelasnya lagi.

Tambah beliau, saringan bersasar secara besar-besaran diharapkan dapat mengawal kluster-kluster tersebut dengan pantas.

Semalam, sebanyak 189 kes positif Covid-19 direkodkan di Terengganu pada Rabu dengan satu kematian.